KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu jawapan muktamad daripada kelab FK Jablonec dan Dion Cools mengenai hasrat untuk menggunakan khidmat pemain itu bagi saingan Piala AFF, bulan depan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan badan induk itu sudah mengadakan perbincangan dengan Cools mengenai perkara itu.
Beliau berkata, isyarat awal yang diperoleh bahawa pertahanan berusia 26 tahun itu berkemungkinan boleh beraksi di Piala AFF 2022 walaupun kejohanan terbabit di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Kami ada perbincangan dengan Dion Cools dan sebolehnya kami nak dia bersama dengan pasukan kebangsaan untuk Piala AFF nanti.
"Setakat ini isyarat yang kami dapat, kemungkinan besar dia mungkin boleh beraksi, itu isyarat yang kami dapat. Tapi keputusan muktamadnya kami masih menunggu lagi jawapan dari kelab dia," katanya.
Cools menjadi antara watak penting dalam skuad kebangsaan ketika ini dengan pemain kacukan Malaysia-Belgium itu mampu beraksi di banyak posisi.
Justeru, khidmat Cools sudah pasti amat ditagih pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam usaha meraih keputusan positif di Piala AFF kali ini.
Bagi edisi kali ini, Malaysia di undi dalam Kumpulan B bersama juara dua kali, Vietnam selain Singapura, Myanmar dan Laos.
Harimau Malaya terlebih dahulu akan berdepan Myanmar pada 21 Disember sebelum menentang Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).