Jumaat, 18 November 2022 | 12:33pm
Pemandangan sekitar bandar di Doha menjelang Piala Dunia 2022. - AFP
Pemandangan sekitar bandar di Doha menjelang Piala Dunia 2022. - AFP

Harga mahal, kualiti makanan teruk di Qatar

DOHA: Kualiti makanan di zon peminat Piala Dunia Qatar 2022 dikecam sementara harga yang agak tidak masuk akal juga dipersoalkan.

Pada awal tahun ini, penganjur menjanjikan "Festival Peminat FIFA terbaik dalam sejarah" di Qatar.

Namun berdasarkan kualiti dan harga makanan, ia mungkin sebaliknya.

Seorang wartawan akhbar Inggeris melakukan kunjungan ke tempat peminat berkumpul di Doha menjelang aksi pembukaan hujung minggu ini dan terkejut dengan apa yang menanti penyokong.

Kira-kira 40,000 orang dijangka hadir dari seluruh dunia untuk menonton kejohanan terhebat sukan bola sepak itu.

Bagaimanapun, lebih baik mereka tidak datang dengan perut kosong kerana mereka mungkin kecewa.

Jika anda berminat untuk kekal sihat semasa Piala Dunia, salad Greek, yang tidak kelihatan begitu menyelerakan, dijual dengan harga £9 (RM48).

Terdapat juga sepinggan nachos yang kelihatan sangat menyedihkan dengan harga sekitar £4.60 (RM25).

Ada lagi makanan berasal dari Mexico termasuk ayam quesadilla, yang berharga £8 (RM43), sama harganya dengan piza pepperoni.

Tidak mengejutkan, ramai peminat berasa berang dengan tahap kualiti makanan pada Piala Dunia kali ini.

Seorang penyokong berkata: "Jika anda pergi ke Qatar untuk menyaksikan kejohanan ini, anda mungkin berasa ditipu."

Seorang peminat pula mengakui: "Arnab saya diberi makan salad yang lebih bagus."

Penyokong ketiga berkata: "Mungkin ini akan menjadi Piala Dunia terburuk setakat ini".

Berita Harian X