DOHA: Bintang Senegal, Sadio Mane terpaksa diketepikan daripada aksi Piala Dunia selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan kaki yang dialaminya, kata kelabnya, Bayern Munich dan Persekutuan Bola Sepak Senegal.
Bayern berkata pemain berusia 30 tahun itu menjalani pembedahan di Innsbruk, Austria pada Khamis untuk menyambung semula tendon pada kepala tulang fibula kanannya susulan kecederaan yang dialami ketika aksi Bundesliga, 8 November lalu.
"Disebabkan itu, penyerang Bayern berkenaan tidak lagi boleh bermain untuk Senegal di Piala Dunia dan akan memulakan proses pemulihannya di Munich beberapa hari akan datang," kata Bayern.
Terdahulu, doktor pasukan Senegal, Manuel Afonso mengumumkan Mane terpaksa diketepikan sekali gus menutup peluang untuk dia bermain sekurang sekurang-kurangnya sebahagian kempen Piala Dunia.
"Malangnya, MRI (ujian pengimejan resonan magnetik) menunjukkan keputusan yang tidak seperti kami harapkan. Keputusan ujian membuatkan kami terpaksa menggugurkan Sadio daripada Piala Dunia," katanya.
Senegal yang juga juara Afrika sebelum ini berharap pemain terbaik Afrika dua kali itu mampu kembali beraksi dalam tempoh tertentu pada kempen Piala Dunia.
Hampir semua skuad Senegal tiba di Qatar pada Ahad lalu dengan pasukan itu dijadual membuka tirai kempen menentang Belanda, Isnin ini.
Empat hari kemudian, Senegal akan menentang Qatar sebelum bertemu Ecuador untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan A.
Senegal menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama Februari lalu dengan Mane menjaringkan penalti kemenangan ketika menewaskan Mesir pada aksi final.
Mane turut menjaringkan penalti kemenangan ketika aksi playoff Piala Dunia yang membolehkan Senegal mengesahkan tiket ke Qatar. - AP