Khamis, 17 November 2022 | 10:41am
Orang ramai berkumpul di Plaza Bendera dekat Doha menjelang Piala Dunia Qatar 2022. - AFP
Orang ramai berkumpul di Plaza Bendera dekat Doha menjelang Piala Dunia Qatar 2022. - AFP

Layanan terhadap Qatar 'tidak adil'

DOHA: Laporan berita antarabangsa menjelang kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 lebih berkisar mengenai layanan buruk tuan rumah terhadap pekerja asing, hak wanita dan komuniti LGBT.

Rayuan badan induk bola sepak dunia FIFA supaya fokus kini diberikan terhadap bola sepak semata-mata tidak diendahkan di sesetengah negara.

Jurulatih Belanda Louis van Gaal berkata semalam tindakan penyokong memboikot kejohanan itu "tepat dan kena pada masanya" tetapi berharap pasukannya mampu bertindak cemerlang bagi membolehkan peminat Oranje menyokong mereka dari kejauhan.

"Saya harap kami bermain dengan fantastik hingga ke penghujung kejohanan dan apabila kami bermain pada aksi final mereka akan menonton di kaca televisyen dan melihat betapa bagusnya kami."

Jurulatih veteran itu mengecam FIFA awal tahun ini, menyifatkan keputusan mereka menganugerahkan Piala Dunia kepada Qatar sebagai "tidak masuk akal".

"Saya fikir anda perlu bermain di negara bola sepak. (Mereka mempunyai) lebih banyak pengalaman mengenai segala-galanya," katanya semalam.

Penyokong England dari India mengatasi penyokong dari England hampir 10 berbanding satu ketika pasukan Gareth Southgate tiba di pangkalan Piala Dunia mereka kelmarin.

Penyokong itu berkata, mereka marah dengan laporan media Britain dan Perancis yang menyatakan mereka sekadar "peminat palsu".

Sajidh, 29, berkata peminat bola sepak India di Qatar "berang" dengan laporan yang menyebut mereka dibayar untuk memakai baju negara yang bertanding pada Piala Dunia.

"Ia jelas berita palsu yang sengaja diada-adakan dan saya ingin menyatakan dengan lantang dan jelas bahawa tiada seorang pun daripada kami dibayar dengan apa cara sekalipun," tambah Sajidh. "Kami peminat tegar England."

Penganjur Piala Dunia memberikan maklum balas kepada isu itu semalam, dengan berkata penyokong dari seluruh dunia menyumbang kepada suasana meriah di Qatar.

"Ramai wartawan dan pengulas di media sosial mempersoalkan sama ada mereka adalah peminat 'sejati'," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Kami menolak sepenuhnya dakwaan ini, yang mengecewakan tetapi tidak mengejutkan." – AFP

Berita Harian X