Khamis, 17 November 2022 | 8:30am
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps tiba bersama pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dekat Doha, Qatar. - AP
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps tiba bersama pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dekat Doha, Qatar. - AP

Perancis tiba di Qatar untuk pertahan mahkota

DOHA: Juara dunia, Perancis tiba di Qatar semalam tatkala bintang Argentina, Lionel Messi memanaskan badan untuk kejohanan Piala Dunia dengan meledak gol dalam satu perlawanan persahabatan.

Messi, 35, mempunyai pelbagai koleksi trofi dalam genggamannya namun kejohanan di Qatar ini mungkin menjadi peluang terakhir buat dirinya untuk menyamai pencapaian legenda Argentina, Diego Maradona, juara bagi edisi 1986.

Argentina yang pernah muncul juara sebanyak dua kali, tampak sudah bersedia untuk melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 36 perlawanan, dan Messi meraih gol di peringkat antarabangsa ke-91 apabila pasukan dari Amerika Selatan itu menumpaskan Emeriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Namun penyerang Paris Saint-Germain, Messi tampak berwaspada mengenai peluang pasukannya di Qatar meskipun diletakkan sebagai antara pasukan pilihan yang mampu menggondol gelaran.

"Kami mempunyai satu kumpulan yang sangat bagus dan begitu bersemangat tetapi kami mempunyai pemikiran untuk melangkah secara satu demi satu. Kami tahu peringkat kumpulan Piala Dunia bukan mudah," kata pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu dalam satu temubual.

Argentina dijadual membuka kempen mereka di Piala Dunia dengan menentang Arab Saudi pada 22 November dengan Mexico dan Poland turut berada dalam saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, Perancis tiba di Doha semalam untuk menjadi pasukan pertama yang dapat mengekalkan gelaran di World Cup sejak dilakukan Brazil pada 1962.

Sepuluh pemain yang pernah meraih gelaran pada 2018 berada dalam skuad kali ini termasuk kapten Hugo Lloris, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.

Namun juara bertahan itu pada kali ini diundi bersama Australia, Denmark dan Tunisia dalam peringkat kumpulan tanpa kehadiran pilihan utama di bahagian tengah, Paul Pogba dan N'Golo Kante.

Pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema yang diketepikan dalam beberapa perlawanan dengan Real Madrid pada musim ini kerana kecederaan, dilihat bakal membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia sejak 2014.

Pasukan Amerika Syarikat (AS) kembali dalam senarai bola sepak terkemuka selepas lapan tahun 'menyepi' dan Christian Pulisic berkata, Piala Dunia kali ini adalah peluang untuk mengubah persepsi mengenai bola sepak Amerika.

"Itu adalah sebab dan kenapa kami berada di sini," kata Pilisic. "Mungkin ia bukan sukan utama ataupun apa saja di Amerika Syarikat. Namun kami mahu mengubah pandangan dunia terhadap bola sepak Amerika Syarikat. Itu adalah salah satu sasaran kami." - AFP

Berita Harian X