Rabu, 16 November 2022 | 7:50pm
Bintang Maghribi, Abderrazak Hamdallah menjadi sandaran negaranya pada Piala Dunia Qatar. - Foto ihsan Morocco World News
Bintang Maghribi, Abderrazak Hamdallah menjadi sandaran negaranya pada Piala Dunia Qatar. - Foto ihsan Morocco World News

Hamdallah harapan Atlas Lion mengaum di Qatar

DOHA: Penyerang kelab Al-Ittihad, Abderrazak Hamdallah disenaraikan dalam skuad 26 pemain Maghribi di Piala Dunia Qatar 2022 dengan penyokong negara itu nyata meletakkan harapan tinggi terhadap kemampuan pemain berkenaan.

Dengan ketua jurulatih, Walid Regragui mengumumkan skuad rasminya di kejohanan berkenaan, penyokong Maghribi begitu teruja untuk melihat nama Hamdallah dalam senarai berkenaan apatah lagi dia tidak bermain dalam pasukan negara itu sejak keluar dari kem latihan pada 2019.

Dalam satu temubual bersama Waleed Al Farra, Hamdallah memohon maaf kepada peminat Maghribi dan pegawai pasukan kerana meninggalkan kem pasukan kebangsaan pada 2019 dengan menyifatkan tingkah lakunya itu sebagai 'detik hitam' dalam karier bola sepaknya.

Hamdallah nyata kesal dengan menambah tindakannya itu meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadapnya selepas tiga tahun tidak bersama pasukan Maghribi.

"Sama seperti semua pemain bola sepak Maghribi, saya juga mempunyai impian untuk beraksi di Piala Dunia," kata penyerang Maghribi itu selain menambah yang dia sudah membuka 'buku baharu' bersama ketua jurulatih kebangsaan itu.

Penyerang yang lahir pada 1990 itu juga berkata, dia akan memberikan yang terbaik di sepanjang kejohanan itu selepas diterima dalam skuad Maghribi ke Piala Dunia di Qatar.

Hamdalah yang membuat kemunculan profesonalnya pda 2010 bersama Olympic Club de Safi, sebuah kelab Maghribi yang berpangkalan di bandar Safi dan dia turut pernah bermain dengan beberapa kelab lain sebelum berpindah ke kelab Norway, Aalesunds FK pada 2013 sebelum ke kelab China, Guangzhou FC.

Untuk rekod, Maghribi tidak berupaya melepasi peringkat kumpulan sejak mereka mara ke pusingan kedua di Mexico 1986 dan pada kali ini mereka diletakkan dalam kumpulan sukar yang turut disertai ranking kedua dunia, Belgium selain naib juara Piala Dunia 2018, Croatia dan pasukan sedang meningkat, Kanada.

"Saya tahu persiapan untuk Piala Dunia kali ini singkat... tetapi kami terus berjuang untuk membuat penyokong Maghribi gembira," kata Regragui.

Maghribi yang hanya tewas dua kali dalam 12 perlawanan pada 2022, bakal memulakan kempen di Qatar menentang Croatia - pasukan yang tewas di tangan Perancis pada final 2018 - sebelum bertemu Belgium dalam aksi kedua Kumpulan F.

PROFIL MAGHRIBI -

Persatuan: Royal Moroccan Football Federation

Konfederasi: CAF

Ketua jurulatih: Walid Regragui

Kapten:Romain Saiss

Nama gelaran: Atlas Lions

Kod FIFA: MAR

Ranking: 22

Penyertaan Piala Dunia: 6

Pencapaian: Pusingan 16 terbaik (1986)

Jadual perlawanan:

Maghribi mln Croatia

23 November, 6 ptg

Std Al Bayt

Belgium mln Maghribi

27 November, 9 mlm

Std Al Thumama

Kanada mln Maghribi

1 Oktober, 11 mlm

Std Al Thumama

Berita Harian X