Rabu, 16 November 2022 | 7:49pm
Bintang veteran Belgium, Romelu Lukaku (kiri) dan Eden Hazard. - Foto ihsan Khaleej Times
Bintang veteran Belgium, Romelu Lukaku (kiri) dan Eden Hazard. - Foto ihsan Khaleej Times

Lukaku, Hazard kekal jadi taruhan Belgium

DOHA: Romelu Lukaku disenaraikan dalam barisan 26 pemain Belgium kendalian Roberto Martinez meskipun terdapat tanda tanya berterusan mengenai tahap kecergasannya di Piala Dunia nanti.

Penyerang yang ketika ini dipinjamkan ke Inter Milan dari Chelsea mengalami kecederaan bermula pada awal musim ini. Pemain berusia 29 tahun itu mengalami masalah hamstring termasuk paha pada awal musim dan ini bermakna, dia hanya diturunkan sebanyak dua kali sejak Ogos untuk saingan Serie A.

Martinez sebelum ini berkata, dia akan menyenaraikan Lukaku sekiranya pemain itu mampu beraksi setidak-tidaknya dalam satu perlawanan peringkat kumpulan dengan berkata: "Dia tidak begitu cergas secara perubatannya, itu jelas tetapi pada tiga hari lalu, dia begitu positif. Kami akan memberi setiap saat untuknya cergas.

"Pada peringkat ini, kami rasa dia mampu mengambil bahagian paling tidak dalam satu daripada tiga perlawanan (Kumpulan F). Namun kami akan sentiasa mengawasinya dan menunggu sehingga 22 November untuk membuat keputusan.

"Situasi dihadapinya hampir sama dengan (Axel) Witsel pada Kejohanan Eropah sebelum ini ataupun Vincent Kompany pada 2018 (menjelang Piala Dunia). Ia bukan satu situasi luar biasa buat kami. Kami mahu dia bermain dengan membawa satu peranan yang penting."

Dalam pada itu, Eden Hazard turut disenaraikan meskipun berada di bangku simpanan di Real Madrid musim ini dan dia tidak beraksi dalam saingan La Liga sejak September selepas tidak berjaya menambat hati jurulatih, Carlo Ancelotti.

Namun, dia adalah seorang figura yang talismatik buat Belgium dan Martinez mengenepikan kebimbangannya mengenai kecergasan dan tahap prestasinya.

"Saya melihat Eden untuk menggalas tugas kapten dalam skuad ini dan menunjukkan betapa kita mempunyai pemain menakjubkan. Dia menikmati bola sepak, saya boleh melhat perkara itu, apa yang perlu diberikan perhatian adalah kecergasan dalam permainan," kata Martinez.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, mereka juga mempunyai kontijen yang kuat seperti Kevin De Bruyne (Manchester City), Youri Tielemans (Leicester), Wout Faes dan Timothy Castagne, Amadou Onana (Everton), Leandro Trossard (Brighton) dan Leander Dendoncker (Aston Villa).

PROFIL BELGIUM -

Persatuan: Royal Belgian Football Association (RBFA)

Konfederasi: UEFA

Ketua jurulatih: Roberto Martinez

Kapten: Eden Hazard

Nama gelaran: The Red Devils

Kod FIFA: BEL

Ranking: 2

Penyertaan Piala Dunia: 14

Pencapaian: Ketiga di Russia 2018

Jadual perlawanan:

Belgium mln Kanada

24 November, 3 pg

Std Ahmad bin Ali, Al Rayyan

Belgium mln Maghribi

27 November, 9 mlm

Std Al Thumama, Doha)

Croatia mln Belgium

1 Oktober, 11 mlm

Std Ahmad bin Ali, Al Rayyan

Berita Harian X