Rabu, 16 November 2022 | 1:32pm
Amri didapati merosakkan permukaan padang di titik sepakan penalti sebelum sepakan diambil Bergson pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.
Amri didapati merosakkan permukaan padang di titik sepakan penalti sebelum sepakan diambil Bergson pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.

Amri bantu gagalkan penalti Bergson?

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh meraih bekalan lebih selesa di separuh akhir pertama Piala Malaysia sekiranya mesin gol mereka, Bergson Da Silva berjaya menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-58.

Peluang keemasan itu bagaimanapun tidak berjaya digunakan sepenuhnya Bergson apabila sepakan diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Beberapa pihak melontarkan pujian kepada Damien atas kejayaannya menepis 'peluru' yang dilepaskan Bergson dan membantu Sabah daripada ketinggalan lebih jauh sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Bagaimanapun, ada yang menganggap pemain berpengalaman, Amri Yahyah membantu Damien menggagalkan sepakan yang dilakukan Bergson.

Ia selepas pemain berusia 41 tahun itu dilihat merosakkan permukaan padang di 'titik' sepakan penalti dengan menggunakan kakinya sebelum penalti dilakukan Bergson.

Video taktik rahsia Amri itu turut tular di media sosial dengan dia juga dilihat dilayangkan kad kuning oleh pengadil selepas melakukan tindakan itu.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana tindakan Amri itu berjaya 'memerangkap' Bergson daripada melakukan sepakan lebih baik dan sama ada kebetulan atau sebaliknya, sepakan pemain dari Brazil itu diselamatkan Damien.

JDT membawa pulang bekalan tipis hasil kemenangan 1-0 di Stadium Likas, semalam dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34.

Berita Harian X