Rabu, 16 November 2022 | 1:10pm
Penyerang JDT Arif Aiman dikawal empat pemain Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Likas malam tadi. - Foto BERNAMA
Penyerang JDT Arif Aiman dikawal empat pemain Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Likas malam tadi. - Foto BERNAMA

Bidoglio waspada kebangkitan Sabah

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu berwaspada dengan kebangkitan yang bakal ditampilkan Sabah dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu memperoleh bekalan tipis hasil kemenangan 1-0 pada aksi pertama yang berlangsung agak tegang di Stadium Likas, semalam.

Bidoglio menganggap pasukannya tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa menerusi bekalan satu gol yang disumbangkan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 itu.

Sebaliknya, pengendali dari Argentina itu menegaskan bahawa pasukannya perlu menunjukkan peningkatan untuk memastikan perjalanan mereka ke final Piala Malaysia dapat direalisasikan.

"Ini perlawanan separuh akhir dan ia sangat sukar. Kami masih ada lagi 90 minit pada aksi separuh akhir kedua nanti.

"Sabah pasukan yang kuat dan bekerja keras terutama dalam melakukan serangan balas. Mereka juga mempunyai pemain yang pantas.

"Walaupun JDT memiliki prestasi yang baik di gelanggang sendiri, tapi kami perlu meneruskan peningkatan. Setiap perlawanan saya mahu lihat pasukan meningkat dan kami memiliki barisan pemain terbaik," katanya.

Kemenangan JDT sebenarnya sudah dijangka berdasarkan persembahan konsisten dipamerkan mereka sepanjang musim ini dan Harimau Selatan boleh mendapat bekalan lebih selesa sekiranya Bergson Da Silva dapat menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58.

Keputusan itu juga boleh dianggap positif buat JDT apabila mereka berjaya bertahan kira-kira 20 minit terakhir daripada dibolosi selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad merah yang diterima Muhamad Feroz Baharudin pada minit ke-73.

Selain itu, Bidoglio tidak menganggap ketiadaan Feroz boleh menjejaskan persembahan JDT bagi aksi separuh akhir kedua nanti kerana Harimau Selatan masih memiliki ramai pemain terbaik untuk mengisi kekosongan itu.

Berita Harian X