LONDON: Sadio Mane bakal terlepas aksi perlawanan pembukaan Senegal di Piala Dunia selepas kecederaan kakinya dijangka tidak sempat pulih.
Penampilan penyerang Bayern Munich itu diragui kerana mengalami kecederaan ketika menentang Werder Bremen pada aksi Bundesliga.
Senegal bagaimanapun tetap menyenaraikan Mane tetapi pada ketika ini, juara Piala Negara-Negara Afrika itu mungkin tidak beraksi tanpa bintangnya itu.
Media luar melaporkan Persekutuan Bolasepak Senegal memaklumkan Mane dijangka terlepas perlawanan pertama mereka dalam kejohanan berprestij itu sekali gus bekas penyerang Liverpool itu hampir pasti tidak diturunkan untuk aksi bertemu Belanda.
Selain itu, terdapat juga keraguan mengenai tempoh untuk Mane sembuh sepenuhnya sebelum pertembungan dengan negara tuan rumah, Qatar pada 25 November ini ataupun Ecuador, empat hari kemudian.
Mane nyata menjadi tunjang kepada Senegal, selepas membantu pasukannya meraih kejayaan di Piala Negara-Negara Afrika selain ke Piala Dunia menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Mesir.
Ketika Bayern Munich membelasah Werder Bremen 6-1, Mane mengalami kecederaan selepas minit ke-20 permainan dengan pengurus kelab, Julian Nagelsmann mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu akan menjalani ujian imbasan X-ray.
Mane kemudian dilaporkan mengalami kecederaan yang serius dan ia sudah memadai untuk mengenepikan pemain berkenaan daripada kejohanan sekali gus memberi tamparan buat juara Piala Negara-Negara Afrika itu.
Namun, Senegal tetap menyenaraikan Mane, yang menamatkan undian Ballon d'Or di tempat kedua di belakang Karim Benzema, dengan harapan dia mampu pulih dengan segera dan memainkan peranan di Piala Dunia.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Fatma Samoura berkata, negara itu harus menggunakan 'bomoh' untuk membantu Mane menyertai kejohanan itu.
"Kami akan menggunakan bomoh," katanya. "Saya tidak tahu (sekiranya ia berhasil) tetapi dalam keadaan sebegini, kami akan menggunakannya juga. Kami harapkan keajaiban. Dia perlu berada di sana!."
Senegal diramal mampu menamatkan saingan di kedudukan kedua dalam saingan peringkat kumpulan dan ia bakal membolehkan mereka bertemu England pada pusingan 16 terbaik. - Agensi