Selasa, 15 November 2022 | 9:24pm
Pasukan Jerman bergambar di depan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, Jerman sebelum berlepas ke Qatar untuk menyertai Piala Dunia 2022. - Foto REUTERS
Pasukan Jerman bergambar di depan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, Jerman sebelum berlepas ke Qatar untuk menyertai Piala Dunia 2022. - Foto REUTERS

Jerman tampil lebih segar, mantap di Piala Dunia

DOHA: Jerman mengharungi dua temasya besar terakhir dengan kekecewaan selepas juara dunia empat kali itu gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2018 sebelum tewas di tangan England pada pusingan 16 terbaik Kejuaraan Eropah 2020.

Kini dengan sentuhan jurulatih dan identiti pasukan yang lebih segar, Jerman mengharapkan edisi kali ini mampu menghasilkan keputusan yang berbeza.

Dua keputusan hambar dilakar Jerman pada masa itu di bawah kendalian Joachim Low, namun kehadiran Hansi Flick yang sebelum ini menjadi pembantu Low pada edisi 2014 'menghidupkan semula' Jerman yang ditunjangi pemain dari Bayern Munich.

Dalam dua musim bermula 2019 hingga 2021, Flick membimbing Bayern Munich menjulang dua kejuaraan liga, Liga Juara Juara serta juara Piala Dunia Kelab.

Justeru, tidak menghairankan kebanyakan pemain Jerman datang daripada Bayern Munich seperti Manuel Neuer, Joshua Kimmich dan Leon Goretzka mengemudi bahagian tengah serta bahagian sayap dipacu Leroy Sane serta Serge Gnabry.

Ketiadaan penyerang RB Leipzig, Timo Werner susulan kecederaan buku lali menyaksikan penyerang Chelsea, Kai Havertz bakal memainkan peranan besar pada Piala Dunia ini.

Thomas Muller memenangi Kasut Emas pada edisi 2010 selain menjulang 'Silver Ball' sebagai pemain kedua terbaik pada edisi 2014.

Pemain Jerman paling banyak memenangi trofi itu diketepikan ketika era sukar Low, namun kembali pada Kejuaraan Eropah 2020 dan membantu Jerman layak ke Qatar.

Meskipun sudah berusia 33 tahun dan seakan melepasi waktu gemilangnya tetapi Muller masih menyerlah dalam dua kempen liga terakhirnya bersama Bayern Munich.

Dengan catatan 19 gol serta 37 bantuan gol, Muller bakal menjadi antara pemain paling penting dalam perancangan Jerman bagi edisi kali ini.

PROFIL JERMAN -

Persatuan: Persatuan Bolasepak Jerman (DFB)

Konfederasi: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA)

Ketua jurulatih: Hansi Flick

Kapten: Manuel Neuer

Nama gelaran: Die Mannschaft

Kod FIFA: GER

Ranking FIFA: 11

Penyertaan Piala Dunia: 20 kali

Pencapaian: Juara (1954, 1974, 1990, 2014)

Jadual perlawanan:

Jerman mln Jepun, 23 November, 9 malam

Sepanyol mln Jerman, 28 November, 3 pagi

Costa Rica mln Jerman, 2 Disember, 3 pagi

Berita Harian X