Selasa, 15 November 2022 | 7:50pm
Penyokong Tunisia berkumpul di hadapan sebuah hotel di Doha, Qatar menjelang permulaan aksi Piala Dunia 2022, hujung minggu ini. - Foto AFP.
Penyokong Tunisia berkumpul di hadapan sebuah hotel di Doha, Qatar menjelang permulaan aksi Piala Dunia 2022, hujung minggu ini. - Foto AFP.

Penyokong berpakaian mencolok mata berdepan denda, penjara

DOHA: Penyokong pasukan yang hadir di Piala Dunia akan dikenakan denda tinggi ataupun dipenjara sekiranya menayangkan bahu ataupun bahagian perut di Qatar.

Edisi Piala 2022 kali ini menjanjikan situasi yang berbeza selepas kerajaan Qatar menguatkuasakan undang- undang ketat yang pasti mengejutkan pelancong.

Meskipun suhu boleh mencecah sehingga 50 darjah, namun penyokong diingatkan supaya kekal memakai baju dan berpakaian sopan.

Perkara yang dilihat kebiasaan di United Kingdom (UK) seperti bercium di khalayak ramai ataupun memakai pakaian mencolok mata adalah satu kesalahan mengikut undang undang Qatar dan mereka yang terbabit boleh ditangkap.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memberi amaran kepada penyokong bahawa bahu mereka perlu ditutup, memandangkan Qatar memiliki undang-undang ketat terhadap wanita di tempat umum di negara terbabit.

Walaupun wanita bukan tempatan tidak perlu memakai abaya namun pakaian mereka perlu menutup bahagian perut dan bahu, selain seluar yang perlu menutup lutut.

Wanita yang berkunjung ke Qatar juga dilarang daripada memakai pakaian ketat ataupun yang menampakkan lurah payu dara.

Lelaki dibenarkan memakai seluar panjang tetapi perlu juga menutup bahagian lutut selain baju tanpa lengan dan baju T yang memaparkan slogan ofensif turut tidak dibenarkan.

Pihak keselamatan memiliki cara untuk mengesan mereka yang melanggar kod pakaian selepas setiap stadium dilengkapi dengan 15,000 kamera untuk mengawasi pergerakan setiap penyokong.

- AGENSI

Berita Harian X