Selasa, 15 November 2022 | 3:24pm
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukannya sebagai persiapan bertemu JDT bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, malam ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukannya sebagai persiapan bertemu JDT bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, malam ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin.

Sabah tak gerun meskipun `tempang' sambut JDT

KOTA KINABALU: Sabah FC tidak mahu mengalah lebih awal meskipun ketiadaan ramai tonggak utama untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Malah, skuad Badak itu juga jelas tidak akan mudah tunduk kepada skuad Harimau Selatan itu meskipun kena `baham' ketika aksi Liga Super di laman sendiri sebelum ini, selain di gelanggang lawannya itu sepanjang musim ini.

Ketika mengulas pertemuan berkenaan, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata anak buahnya mungkin mampu mencipta keputusan yang positif pada perlawanan terakhir di halaman sendiri bagi musim 2022, malam ini.

"Kita tahu JDT cukup baik dalam semua aspek tapi itu dalam perlawanan liga. Dalam perlawanan kalah mati sudah tentu berbeza dan jika kita mampu perbaiki dua perlawanan liga bersama JDT di Likas sebelum ini, malam ini mungkin keputusan berpihak kepada kita," katanya.

Kim Swee mengakui hanya seorang tonggak importnya, Taiki Kagayama yang benar-benar cergas untuk diturunkan pada aksi pertama separuh akhir itu.

Katanya, pemain tempatan lain dalam keadaan cergas sepenuhnya dan bersedia menggempur JDT dalam usaha mendapatkan kemenangan pertama menentang juara Liga Super 2022 itu.

"Tiada pemain kita yang berdepan penggantungan tetapi beberapa pemain utama masih berdepan kecederaan, terutama jangka panjang seperti Jackson de Souza dan Jose Embalo yang akan terkeluar termasuk Gary Steven Robbat dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

"Park Taesu dan Saddil Ramdani juga masih dalam situasi 50-50, kerana belum cergas sepenuhnya, namun pemain yang lain dalam keadaan yang cukup baik untuk diturunkan," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee juga bimbang kelancaran perlawanan dan persembahan anak buahnya malam ini mungkin terganggu lagi akibat keadaan cuaca yang kurang baik seperti berlaku ketika aksi menentang Kuching City FC pada 11 November lalu.

"Beberapa hari ini cuaca tidak begitu baik dengan hujan begitu lama dan keadaan padang di Stadium Likas juga masih belum pulih sepenuhnya selepas perlawanan dengan Kuching City tempoh hari. Jadi, apapun yang berlaku nanti kita harus mengadaptasi dengan keadaan cuaca dan padang," katanya.

Kim Swee menegaskan pemain Sabah FC perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik pada malam ini berbanding permainan yang ditunjukkan ketika bermain dalam Liga Super, termasuk aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City, sebelum ini.

Beliau turut mengharapkan kehadiran penyokong Sabah FC untuk memenuhkan Stadium Likas pada malam ini bagi memberi semangat dan motivasi kepada pasukan untuk melakukan yang terbaik menentang JDT.

Berita Harian X