Selasa, 15 November 2022 | 1:38pm
Inaki (kanan) dipilih oleh Ghana semalam manakala adiknya Nico Williams disenaraikan oleh Sepanyol minggu lalu.
Inaki (kanan) dipilih oleh Ghana semalam manakala adiknya Nico Williams disenaraikan oleh Sepanyol minggu lalu.

Williams bersaudara wakili Ghana, Sepanyol

LONDON: Penyerang Athletic Bilbao, Inaki dan Nico Williams muncul pasangan adik-beradik terbaharu beraksi untuk negara berbeza pada Piala Dunia.

Inaki Williams dipilih oleh Ghana semalam manakala adiknya Nico Williams disenaraikan oleh Sepanyol minggu lalu.

Mereka akan mengulangi pencapaian Boateng bersaudara, yang bermain untuk negara berbeza pada 2010 di Afrika Selatan dan 2014 di Brazil.

Jerome Boateng tampil sebagai pemain pertahanan tengah bersama Jerman manakala Kevin-Prince Boateng yang lebih tua, pemain tengah menyerang dengan Ghana.

Adik-beradik Boateng, yang bermain menentang satu sama lain dalam kedua-dua kejohanan itu, berkongsi bapa yang berasal dari Ghana namun dibesarkan oleh ibu berlainan di Jerman.

Williams bersaudara dilahirkan di Sepanyol menerusi ibu bapa Ghana yang melakukan perjalanan ke Eropah untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Untuk sampai ke Sepanyol, mereka terpaksa menaiki belakang trak yang sesak dan berjalan tanpa kasut melalui padang pasir Sahara, menurut Inaki.

Ibunya sudah mengandung apabila pasangan itu ditahan ketika cuba memasuki Sepanyol.

Mereka akhirnya menerima suaka politik selepas memberitahu pihak berkuasa mereka melarikan diri dari perang saudara di Liberia.

Pasangan itu berpindah ke wilayah Basque, tempat kedua-dua anak lelaki itu dilahirkan.

Inaki, kini berusia 28 tahun, menyertai akademi remaja kelab divisyen satu Athletic disusuli Nico, kini 20 tahun.

"Saya selalu menyatakan semua yang kami lakukan adalah untuk ibu bapa kami, bagi semua yang mereka lakukan terhadap kami," kata Inaki kepada akhbar harian Sepanyol Marca.

"Ia seperti membalas pengorbanan mereka yang mahu melihat anak-anak mereka memenuhi impian kami."

Adik-beradik itu adalah antara beberapa pemain kulit hitam yang pernah bermain untuk Athletic, kelab tradisional Sepanyol yang hanya mengikat pemain kelahiran tempatan atau mereka yang pernah berlatih di akademi bola sepak pasukan di wilayah Basque itu.

Musim lalu, Inaki memecahkan rekod liga Sepanyol bagi penampilan paling banyak berturut-turut dengan 203 kali.

Dia tidak menerima panggilan skuad Sepanyol sejak membuat penampilan pada perlawanan persahabatan pada 2016, jadi dia memutuskan untuk menerima panggilan Ghana ketika negara Afrika itu merekrut secara agresif pemain menjelang Piala Dunia di Qatar.

Penyerang pantas itu membuat penampilan sulung bersama Ghana September lalu menentang Nicaragua dan kemudian beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Brazil.

Nico, yang turut dibesarkan oleh Inaki kerana ibu bapa mereka terpaksa keluar bekerja, dipanggil pada saat-saat akhir oleh jurulatih Sepanyol Luis Enrique, dengan panggilan pertamanya dibuat pada September lalu.

Dia membuat penampilan sulung pada aksi Liga Negara Eropah menentang Switzerland dan dalam perlawanan keduanya sebagai pemain gantian, pemain muda itu melorongkan umpanan untuk jaringan rakan sepasukan, Alvaro Morata sekali gus membolehkan Sepanyol layak ke separuh akhir.

Terdapat beberapa contoh adik-beradik bermain untuk pasukan kebangsaan yang sama pada Piala Dunia, termasuk tiga beradik Palacios bersama Honduras pada pusingan akhir 2010.

Ghana mempunyai adik-beradik Andre dan Jordan Ayew - anak pemain terbaik Afrika tiga kali Abedi Pele - bermain bersama pada Piala Dunia 2014 dan mereka akan kembali ke Qatar bulan ini.

Ivory Coast tampil dengan Yaya dan Kolo Toure pada 2010 dan 2014, manakala Jonathan dan Giovani dos Santos bermain untuk Mexico pada 2018, begitu juga Eden dan Thorgan Hazard bersama Belgium.

Kembar Frank dan Ronald de Boer berada dalam pasukan Belanda pada Piala Dunia 1994 dan 1998, mara ke separuh akhir pada 1998.

Satu lagi pasangan kembar Belanda - Rene dan Willy van de Kerkhof - mara ke final dua kali pada 1974 dan 1978.

Erwin dan Ronald Koeman bukan kembar tetapi pada 1990, juga bermain untuk Belanda.

Pasukan kebangsaan Denmark mempunyai Brian dan Michael Laudrup pada 1998, manakala England bergantung harap kepada Jack dan Bobby Charlton pada Piala Dunia 1966 dan 1970.

Sepanyol dan Ghana berada dalam kumpulan berbeza di Qatar, jadi adik-beradik Williams tidak dapat bertembung antara satu sama lain sekurang-kurangnya hingga suku akhir.

"Mudah-mudahan kami bertemu," kata Inaki "dan Ghana menang..."

"Kita akan lihat mengenainya," kata Nico. "Tetapi yang pasti kami akan bertukar jersi selepas perlawanan."

Berita Harian X