Selasa, 15 November 2022 | 10:49am
Penyokong Argentina menari dan bermain dram di kawasan palancongan popular dekat Souq Waqif menjelang Piala Dunia Qatar. - REUTERS
Penyokong Argentina menari dan bermain dram di kawasan palancongan popular dekat Souq Waqif menjelang Piala Dunia Qatar. - REUTERS

Qatar didakwa upah 'penyokong palsu'

DOHA: Qatar dituduh membayar ratusan "peminat palsu" untuk berarak dan bergaya di depan kamera menjelang Piala Dunia.

Rakaman klip video mendedahkan mengenai "penyokong" bola sepak dari seluruh dunia memenuhi jalanan di ibu negara Qatar, Doha seminggu sebelum kejohanan itu bermula.

Qatar Living - platform komuniti rasmi pertama negara itu di TikTok - menyiarkan video "peminat" dari negara yang berbeza berkumpul dalam jumlah yang besar dengan bendera, lukisan di muka dan sepanduk.

Tidak jelas sama ada peminat itu pekerja asing yang tinggal di Qatar dan berpesta lebih awal atau sama ada perarakan itu dianjurkan oleh pihak berkuasa.

Satu klip menunjukkan lautan penyokong Brazil mengibarkan bendera di Doha Corniche - persiaran tepi pantai di bandar itu - dan yang lain menunjukkan penyokong dari Portugal, Argentina, Ghana, Cameroon dan Tunisia.

Satu lagi hantaran menyaksikan peminat England berteriak dan bermain dram ketika mereka berarak di jalanan sambil memegang sepanduk yang bertulis: "Ia akan kembali."

Tingkah laku penyokong nampaknya disusun rapi dan dipersembahkan dengan teliti - dan persoalan dibangkitkan mengenai kesahihan peminat itu.

Ada yang menuduh Qatar menganjurkan perarakan menggunakan penyokong "palsu" dan mempersoalkan mengapa peminat tiba dalam jumlah yang terlalu ramai lebih seminggu sebelum Piala Dunia bermula.

Pengguna media sosial lain mendakwa melihat "peminat" yang sama dalam video berasingan yang menunjukkan sokongan mereka untuk negara berbeza.

Ada juga yang menegaskan tiada penyokong wanita dalam kumpulan itu.

Seorang pengguna TikTok mengulas pada klip peminat England: "Pelakon berbayar!"

Seorang lagi berkata: "Saya tertanya-tanya jika mereka hanya mengupah orang secara rawak untuk bersorak."

"Melihat mereka semua berpakaian seperti peminat Brazil semalam," kata seorang lagi warganet.

"Saya bersumpah mereka membayar pekerja untuk menjadi peminat ketika ini dan saya melihat mereka menyokong seperti tujuh negara yang berbeza."

Ia bukan kali pertama Qatar dituduh mengupah peminat "palsu".

Pada 2014, Qatar dituduh membayar pekerja asing sebagai penyokong sukan dalam usaha untuk menjadikan arena yang sebahagian besarnya kosong kelihatan penuh.

Pada masa itu, migran berkata mereka menghadiri kejohanan bola tampar antarabangsa Terbuka Qatar demi untuk meraih wang bukannya kerana minat terhadap sukan itu. – AGENSI

Berita Harian X