Selasa, 15 November 2022 | 8:49am
Pertahanan Paris Saint-Germain, Presnel Kimpembe meraikan kemenangan bersama penyokong selepas menewaskan AJ Auxerre di Parc des Princes dekat Paris. - AFP
Pertahanan Paris Saint-Germain, Presnel Kimpembe meraikan kemenangan bersama penyokong selepas menewaskan AJ Auxerre di Parc des Princes dekat Paris. - AFP

Perancis sedia ganti Kimpembe

PARIS: Perancis akan beraksi tanpa pemain pertahanan, Presnel Kimpembe pada Piala Dunia di Qatar susulan masalah kecederaan.

Pengurus, Didier Deschamps bagaimanapun mempunyai Ibrahima Konate dan Dayot Upamecano sebagai dua pilihan untuk mengisi peranan sebagai bek tengah di bahagian kiri dalam perlawanan pertama menentang Australia.

Penyerang Borussia Moenchengladbach, Marcus Thuram dan pertahanan AS Monaco, Axel Disasi dipanggil ketika Deschamps melengkapkan skuadnya, kata Persekutuan Bolasepak Perancis, semalam.

Disasi dipanggil pada saat akhir selepas Kimpembe terpaksa diketepikan kerana kecederaan hamstring.

"Kimpembe tidak mempunyai semua elemen untuk dia bersedia (menghadapi Piala Dunia)," kata Deschamps kepada pemberita.

"Dia jujur dan berdepan realiti walaupun ia menyakitkan."

Ditanya mengenai pilihannya untuk menggantikan Kimpembe, jurulatih Perancis itu menambah: "Konate dan Upamecano. Saya sudah tahu apa yang akan saya lakukan menentang Australia."

Deschamps juga berkata bek tengah Manchester United berusia 29 tahun, Raphael Varane, yang dimasukkan ke dalam skuad walaupun mengalami kecederaan pada Oktober, sedang menjalani pemulihan yang baik.

"Dia berlatih dengan bola dan bermain dengan baik," kata Deschamps. "Dia masih ada peringkat yang perlu diharungi dalam beberapa hari akan datang. Semangat dia dalam keadaan yang baik." - REUTERS

Berita Harian X