Isnin, 14 November 2022 | 7:46pm
Gambar fail - Pengendali JDT, Hector Bidoglio. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Pengendali JDT, Hector Bidoglio. - Foto BERNAMA

JDT bertandang ke Likas tanpa tekanan

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok untuk bertemu Sabah FC dalam aksi pertama saingan separuh akhir Piala Malaysia tanpa sebarang tekanan selain sudah membuat persiapan rapi.

Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata persiapan mental dan fizikal setiap pemain skuad Harimau Selatan amat penting kerana aksi separuh akhir piala berpresti itu berintensiti tinggi, jauh berbeza dengan aksi Liga Super sebelum ini.

"Ia perlawanan sukar bagi kami apabila berdepan Sabah FC kerana corak permainan berintensiti tinggi. Walaupun mereka bergelut untuk layak ke separuh akhir, tapi saya tidak anggap mereka bernasib sebaliknya pasukan itu memiliki kekuatan tersendiri. Sebab itu mereka boleh mara ke peringkat berkenaan.

"Apapun, saya tidak mahu memikirkan tentang pasukan lawan. Apa yang saya lakukan adalah memberi fokus kepada JDT iaitu memastikan persiapan dirancang untuk perlawanan separuh akhir berjalan lancar selain proses pemulihan pemain selepas mengharungi aksi suku akhir berada di tahap memuaskan.

"Kami kena perbaiki lagi kelemahan yang ada dan sentiasa berlatih untuk merencanakan taktikal bakal digunakan pada perlawanan itu nanti. Malah kami harus tampil dengan corak permainan yang lebih baik berbanding aksi lepas," kata Bidoglio.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan berjaya mengatasi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada saingan Liga Super, masing-masing dengan keputusan 2-1 (aksi 15 Julai) dan 3-0 (aksi 15 Oktober).

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Argentina itu mengesahkan Leandro Velazquez yang diketepikan ketika JDT menentang Kelantan FC pada aksi suku akhir kedua Jumaat lalu akan kembali memperkuatkan kesebelasan utama.

"Begitu juga, Shahrul (Saad) boleh beraksi selepas digantung satu perlawanan tapi beberapa pemain dalam bahaya kerana mengutip satu kad kuning. Mereka harus berhati-hati bagi mengelak dikenakan kad lagi kerana aksi timbal balik amat penting bagi kami," katanya.

Bidoglio juga berharap Bergson Da Silva yang sudah meledak lima gol pada saingan Piala Malaysia mengekalkan momentum jaringan buat JDT apabila diturunkan di Stadium Likas malam ini untuk membawa pulang bekalan selesa.

Berita Harian X