LONDON: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen menyatakan sasaran pasukan negaranya pada Piala Dunia semakin meningkat selepas kejayaan layak ke separuh akhir Euro tahun lalu.
Pasukan itu bangkit selepas kehilangan Eriksen susulan serangan jantung pada aksi pembukaan Euro 2020 menentang Finland untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir sebelum tewas di tangan England di Wembley.
"Apabila kami beraksi pada pusingan akhir sebelum ini, ada satu sasaran jelas untuk melepasi peringkat kumpulan dan kami meneruskannya dari situ," kata Eriksen dalam satu temu ramah bersama stesen penyiar Norway, NRK.
"Ia sesuatu yang kami perlu lakukan sekarang. Kami akan berusaha melepasi peringkat kumpulan dan cuba layak sejauh mungkin.
"Sudah tentu, kami juga perlukan sedikit tuah dan bermain perlawanan yang bagus, tapi sasaran kami pada Piala Dunia semakin tinggi apabila kami layak ke separuh akhir Kejohanan Eropah."
Persatuan Bolasepak Denmark (DBU) berkata Khamis lalu, badan induk bola sepak dunia FIFA menolak permintaan mereka untuk berlatih pada Piala Dunia dengan menyarung jersi tertulis "hak asasi manusia untuk semua".
Qatar menerima tekanan susulan layanannya terhadap pekerja asing dan undang-undang sosialnya yang banyak melarang, menyebabkan pasukan yang mengambil bahagian meluahkan kebimbangan.
Negara itu menafikan dakwaan pekerja asing dieksploitasi.
"Ia keputusan FIFA, malah mereka sendiri pernah mengatakan Piala Dunia dianjurkan di Qatar satu kesilapan, di situlah kesalahan bermula," kata Eriksen.
"Tetapi kami bukannya ahli politik. Kami adalah pemain bola sepak yang beraksi untuk pasukan kebangsaan yang merupakan sebahagian daripada FIFA dan FIFA memilih untuk bermain di Qatar. Jadi di manakah hadnya dan apakah kemungkinannya?" tanya Eriksen.
"Kami berada di sana sebagai pemain bola sepak dan dari segi politik, kami melakukan apa yang kami boleh. Tetapi tidak banyak yang boleh kami lakukan, kami hanya mahu bermain bola sepak."
Denmark memulakan kempen Piala Dunia menentang Tunisia pada 22 November sebelum berdepan Perancis empat hari kemudian dan Australia pada 30 November. - Reuters