Isnin, 14 November 2022 | 11:00am
Pemilihan pertahanan Manchester United, Harry Maguire (kiri) bersama skuad England cetus kemarahan penyokong. - REUTERS
Pemilihan pertahanan Manchester United, Harry Maguire (kiri) bersama skuad England cetus kemarahan penyokong. - REUTERS

Rooney sokong Southgate pilih Maguire, Alexander-Arnold

LONDON: Wayne Rooney menyokong pemilihan skuad Piala Dunia England kendalian Gareth Southgate secara terbuka, mengakui beliau tidak bimbang dengan kehadiran pemain bintang yang tidak menyerlah Harry Maguire dan Trent Alexander-Arnold.

Rooney, penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England dan Manchester United, cuba meredakan kemarahan dicetuskan oleh beberapa pilihan Southgate yang meragukan, terutamanya kapten Manchester United, Maguire dan Alexander-Arnold dari Liverpool.

Pengurus England itu dikritik hebat kerana memilih pemain berdasarkan kejayaan masa lalu dan bukannya prestasi semasa, ketika isu benteng pertahanan dianggap masalah utama.

Penyerang legenda itu cuba mengalihkan perhatian daripada perbincangan 'berlebih-lebihan' mengenai kem England.

"Terdapat banyak perdebatan mengenainya tetapi Trent memberikan anda sesuatu yang berbeza," kata Rooney.

"Kebimbangan mengenai kelemahan pertahanannya hanya dibesar-besarkan. Ya, dia melakukan beberapa kesilapan musim ini, tetapi saya rasa itu lebih mencerminkan Liverpool sebagai satu pasukan berbanding dia secara individu.

"Sebagai pemain bola sepak, dia adalah pertahanan kanan terbaik yang dimiliki oleh England.

"Gandingan utama saya di bahagian tengah adalah (John) Stones dan Maguire: mereka berpengalaman luas dalam kejohanan besar.

"Banyak perbalahan mengenainya, kerana dia tidak berada dalam kesebelasan utama Manchester United, tetapi saya tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenainya dalam situasi kejohanan utama," katanya.

Maguire membuat empat penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United musim ini tetapi hanya memulakan tiga perlawanan, dengan gandingan pertahanan Raphael Varane dan Lisandro Martinez menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu berada di bangku simpanan.

Alexander-Arnold pula dilihat sebagai tidak penting dalam perancangan Southgate bersama England pada masa lalu, hanya membuat 14 penampilan untuk pasukan kebangsaan walaupun memenangi EPL, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga bersama Liverpool.

Rooney juga mengenal pasti penyerang Manchester City, Phil Foden sebagai pemain terbaik England bagi skuad ke Qatar 2022, malah meletakkan pemain berusia 22 tahun itu mengatasi kehebatan Raheem Sterling, Bukayo Saka dan Harry Kane.

Foden cemerlang di bawah kendalian Pep Guardiola di peringkat kelab, menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan setakat ini musim ini.

Bagaimanapun dia kurang menyerlah bersama England, hanya menjaringkan dua gol sejak membuat penampilan sulung menentang Iceland pada 2020.

Rooney menjelaskan mengapa beliau memilih Foden dan bagaimana beliau akan menggunakannya sebagai pemain sayap kiri jika beliau menjadi pengurus.

"Cara dia beraksi sejak beberapa tahun lalu menunjukkan dia pemain terbaik England. Dia mencipta peluang, dia menjaringkan gol. Dia belum cukup melakukannya untuk England seperti yang dilakukan bersama City tetapi saya fikir dia mempunyai semua yang anda perlukan dan dari segi teknikal dan keupayaan, dia adalah pemain terbaik yang kami ada." - AGENSI

Berita Harian X