LONDON: Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes mempersoalkan keputusan membenarkan Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.
Pemain antarabangsa Portugal itu beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris sebelum berehat selama enam minggu dengan United menewaskan Fulham 2-1, awal pagi tadi menerusi gol kemenangan yang dijaringkan pemain gantian, Alejandro Garnacho.
Penganjuran Piala Dunia di negara padang pasir membawa kepada penyusunan semula kalendar bola sepak antarabangsa yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi mengelakkan cuaca panas terik di negara Teluk.
Qatar membuka tirai kempen Piala Dunia tahun ini menentang Ecuador pada 20 November tetapi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggesa agar fokus hanya kepada bola sepak berbanding layanan buruk negara Teluk terhadap pekerja asing, wanita dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Piala Dunia bukanlah masa yang sesuai untuk bermain, untuk semua orang - kanak-kanak berada di sekolah, orang akan bekerja.
"Kami sudah melihat keadaan sekeliling sejak beberapa minggu dan beberapa bulan yang lalu, dan mengenai orang yang meninggal dunia ketika pembinaan stadium. Kami tidak gembira dengan perkara itu.
"Kami mahu bola sepak untuk semua orang, dan mahu semua orang terbabit dengan Piala Dunia.
"Ia adalah Piala Dunia, ia untuk semua orang - tidak kira siapa. Perkara sebegini saya fikir tidak sepatutnya berlaku pada bila-bila masa.
"Tetapi untuk Piala Dunia yang lebih daripada bola sepak - ia adalah pesta untuk peminat dan pemain, dan kegembiraan untuk menonton, perlu dilakukan dengan cara yang lebih baik," kata Fernandes kepada Sky Sports.
Sementara itu, pemain Denmark, Christian Eriksen yang meledak gol pertama United di Craven Cottage, turut senada dengan Fernandes.
"Saya sangat bersetuju dengan Bruno. Terdapat banyak tumpuan mengenainya, bagaimana Piala Dunia berlaku dan mengapa ia diadakan di Qatar. Semua orang bersetuju ia tidak dilakukan dengan cara yang betul.
"Kami adalah pemain bola sepak, kami bermain bola sepak - politik adalah mengenai sesuatu di luar bidang kuasa kami. Perubahan itu perlu datang dari tempat lain," katanya. - AFP