Ahad, 13 November 2022 | 9:49pm

Alexander-Arnold, Kane layak wakili Brazil - Carlos

LONDON: Roberto Carlos menegaskan Gareth Southgate perlu menurunkan Trent Alexander-Arnold dalam kesebelasan utama di Piala Dunia 2022 selepas menyifatkan pemain Liverpool itu antara dua pemain England yang layak mewakili Brazil.

Meskipun legenda Brazil itu menyokong negaranya untuk menjulang Piala Dunia pada edisi di Qatar itu selepas membantu Brazil menjadi juara dunia 20 tahun lalu, duta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu percaya England antara negara perlu diberi perhatian.

Carlos berkata, kualiti menyerang yang dimiliki bek The Reds itu bermakna dia perlu membarisi kesebelasan utama England pada temasya terbabit.

"Dia perlu berada di situ (kesebelasan utama) kerana dia adalah antara pemain yang terbaik di posisi itu," kata legenda berusia 49 tahun itu.

Dia turut mengakui Alexander-Arnold dan kapten England, Harry Kane layak untuk menyarung jersi Brazil.

"Kane juga seorang pemain yang baik. Anda ada pasukan yang baik bukan hanya atas nama semata-mata tetapi dari segi pemain yang berlatih bersungguh sungguh dan bersedia ke Piala Dunia - atau bermain untuk Brazil.

"Saya boleh katakan dua pemain (Kane dan Alexander-Arnold) itu (layak bermain untuk Brazil) tetapi ada lagi beberapa pemain yang lain. England memiliki ramai pemain yang berkualiti," tambahnya. - AGENSI

Berita Harian X