KUALA LUMPUR: Sepak mula saingan berprestij Piala Dunia Qatar 2022 berbaki seminggu lagi.
Bagi menyemarakkan kejohanan itu, BH Sukan menyiarkan fakta-fakta menarik mengenai kejohanan itu.
1. Seluar terlondeh ambil sepakan penalti
Salah satu fakta Piala Dunia yang melucukan membabitkan sepakan penalti legenda bola sepak Itali, Giuseppe Meazza. Pada 1938, dia mendapat peluang sepakan penalti pada separuh akhir menentang Brazil.
Malangnya, semasa dia mahu mengambil tendangan itu, seluar pendeknya terlondeh. Dia lantas mengenakan semula seluarnya sebelum menewaskan penjaga gol Brazil, Walter yang masih terkekeh-kekeh ketawa. Gol itu membantu Itali layak ke perlawanan akhir menentang Hungary.
2. Dibuang padang pada hari jadi
Satu-satunya pemain yang pernah dibuang padang pada hari lahirnya adalah penyerang Itali, Gianfranco Zola. Dia dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas mengasari pemain Nigeria, Augustine Eguavoen pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Itali memenangi perlawanan itu 2-1 dan akhirnya mara ke final Piala Dunia. Namun Zola tidak dapat beraksi bagi semua baki perlawanan Itali selepas dia digantung dua perlawanan oleh FIFA.
3. Negara tuan rumah paling kecil
Qatar adalah negara paling kecil menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA mengikut saiz tanah dan populasi. Qatar hanya meliputi 11,571 kilometer persegi, lebih kecil daripada seluruh bandaraya New York. Penduduknya hanya 2.881 juta. Negara tuan rumah kedua paling kecil adalah Uruguay, dengan keluasan tanah 176,215 kmp dan populasi kira-kira 3.5 juta.
Hanya 144 kilometer memisahkan dua stadium Qatar yang paling jauh antara satu sama lain iaitu Stadium Al Bayt dan Stadium Al Wakrah. Apatah lagi, semua stadium Piala Dunia disambungkan oleh laluan Metro Doha.
4. Tiket perlawanan paling mahal dalam sejarah
Tidak mengejutkan, mengambil kira kos perbelanjaan kejohanan itu, Piala Dunia FIFA 2022 akan menyaksikan tiket perlawanan termahal dijual dalam sejarah. Tiket final paling mahal berharga £1,179 (RM6,456), naik 46% daripada £807 (RM4,419) bagi final 2018 di Russia. Tiket final paling murah boleh didapati dengan harga £513.34 (RM2,811).
Aksi peringkat kumpulan akan bermula pada harga £58.64 (RM321) bagi pengunjung dari luar negara manakala perlawanan pembukaan bermula pada harga £302 (RM1,654). Warganegara Qatar akan menikmati kadar diskaun serendah £8 (RM43) bagi perlawanan kumpulan.