APABILA Christian Eriksen kembali menjalani latihan selepas serangan jantung pada kejohanan Eropah tahun lalu, hanya satu matlamat utama dalam fikiran pemain itu iaitu mahu beraksi di Piala Dunia.
Tidak ramai yang melihat Eriksen dikelilingi pegawai perubatan dan rakan sepasukan ketika dia terbaring tidak bermaya di atas padang di Stadium Parken di Copenhagen akan menyangka impiannya itu sebagai realistik.
"Saya rasa salah satu perbualan pertama saya dengan doktor adalah mengenai matlamat saya untuk bermain di Piala Dunia jika semuanya berjalan lancar.
"Itu adalah impian pada masa itu," kata Eriksen.
Ia akan menjadi langkah kemunculan semula yang luar biasa apabila menyaksikan Eriksen kembali ke kejohanan bola sepak elit selepas kali pertama bersama Brentford dan kemudian dengan Manchester United yang menunjukkan dia masih antara pemain terbaik dunia.
Dia membuat kemunculan semula bersama skuad kebangsaan pada Mac, menjaringkan gol dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian dalam kekalahan 4-2 di tangan Belanda selain turut meledak jaringan ketika menentang Croatia dalam Liga Negara-Negara pada September.
"Saya berasa pada tahap terbaik dan selesa," kata Eriksen kepada media Denmark. "Tiada apa-apa yang boleh menghalang langkah saya."
Pengalaman pahit Eriksen di Euro 2020 seolah-olah menjadikan Denmark lebih kuat sebagai satu pasukan apabila rakan sepasukannya bersatu sebagai kumpulan yang lebih rapat selepas itu.
Denmark mara ke separuh akhir pada kejohanan itu sebelum tewas di tangan England dan kemudian melengkapkan kempen kelayakan Piala Dunia yang hampir sempurna apabila memenangi sembilan perlawanan pertama untuk memastikan tempat mereka di Qatar sebelum tewas pada perlawanan ke-10 dan terakhir.
"Saya fikir pasukan ini mempunyai potensi untuk mencapai tahap yang lain.
"Apabila saya memikirkan kembali separuh akhir Euro menentang England di Wembley, sebagai contoh, kami tahu kami boleh bermain lebih baik daripada yang kami lakukan hari itu," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.
Denmark hanya melepaskan satu gol dalam sembilan perlawanan kelayakan Piala Dunia pertama mereka yang mana membuktikan kekuatan pertahanan yang dibarisi penjaga gol veteran Kasper Schmeichel, kapten Simon Kjaer dan rakannya di pertahanan tengah Andreas Christensen.
Profil Denmark
Persatuan: Kesatuan Bolasepak Denmark
Konfederasi: UEFA (Eropah)
Ketua jurulatih: Kasper Hjulmand
Kapten: Simon Kjaer
Nama gelaran: The Red and Whites
Kod FIFA: DEN
Ranking FIFA: 10
Penyertaan Piala Dunia: 6 (pertama pada 1986)
Pencapaian: Suku akhir 1998
Jadual perlawanan:
22 November - Denmark mln Tunisia, 9 mlm - Std Education City
27 November - Perancis mln Denmark, 12 tgh mlm - Stadium 974
30 November - Australia mln Denmark, 11 mlm - Stadium Al Janoub