Ahad, 13 November 2022 | 9:00am
Tunisia tampil buat kali keenam di pusingan akhir Piala Dunia.
Tunisia tampil buat kali keenam di pusingan akhir Piala Dunia.

Fokus Piala Dunia: Tunisia enggan jadi pelengkap

JURULATIH Tunisia, Jalel Kadri memasang cita-cita peribadi untuk membawa pasukan itu mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.

Kadri memenangi Piala Kirin pada Jun, namun membayangkan bahawa dia mungkin melepaskan jawatannya jika Tunisia gagal melepasi peringkat kumpulan di Qatar.

"Ia adalah cita-cita peribadi saya. Jika kita tidak berjaya, saya tidak akan berjaya dalam misi saya, walaupun tugas itu sukar.

"Kami mahu merealisasikan impian kami dan mara ke pusingan kalah mati pada percubaan kali keenam.

"Kami sangat realistik. Namun, saya akan menyampaikan mesej positif dan cita-cita kepada pemain, walaupun saya tahu misi itu sukar.

"Perkara yang paling penting adalah mengenal pasti cara untuk menghadapi saat-saat sukar dalam permainan," kata Kadri.

Tunisia akan berdepan juara bertahan Perancis yang bakal mempertaruhkan gandingan serangan menggerunkan Kylian Mbappe dan pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema selain Denmark dan Australia.

Tunisia tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam lima penampilan mereka di Piala Dunia dengan hanya merekodkan dua kali kemenangan termasuk yang pertama menentang Mexico pada 1978 dan kemudian menentang Panama empat tahun lalu di Russia.

Mereka mungkin berdepan cabaran hebat dari Perancis yang dianggap memiliki jentera serangan berbahaya selain Denmark yang mara hingga ke separuh akhir Euro 2020 di England.

Whabi Khazri, yang menjaringkan gol ketika menentang Panama dan menambah satu lagi gol dalam kejohanan 2018, sekali lagi akan menjadi taruhan serangan utama dengan dia sudah menjaringkan 24 gol antarabangsa.

Seifeddine Jaziri pula mempunyai rekod antarabangsa yang baik dengan mengumpul 10 gol dalam 28 perlawanan dan memainkan peranan dengan efektif di bahagian tengah.

Profil Tunisia

Persatuan: Persekutuan Bola Sepak Tunisia

Konfederasi: CAF (Africa)

Ketua jurulatih: Jalel Kadri

Kapten: Youssef Msakni

Nama gelaran: Eagles of Carthage

Kod FIFA: TUN

Ranking FIFA: 30

Penyertaan Piala Dunia: 6 (pertama pada 1978)

Pencapaian: Peringkat kumpulan 1978, 1998, 2002, 2006, 2018

Jadual perlawanan:

22 November - Denmark mln Tunisia, 9 mlm - Std Education City

26 November - Tunisia mln Australia, 6 ptg - Stadium Al Janoub

30 November - Tunisia mln Perancis, 11 mlm - Stadium Education City

Berita Harian X