KUALA LUMPUR: Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) atau selesaikan tunggakan gaji?
Itu dilema yang dijangka wujud susulan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaksanakan sistem VAR bermula musim depan ketika ada pasukan yang masih terhimpit dengan masalah tunggakan gaji.
Bagaimanapun, Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan isu tunggakan gaji sudah menjadi kes terpencil terutamanya selepas penswastaan pasukan dilaksanakan.
Malah, Firdaus turut menegaskan sistem VAR itu sudah dianggap satu keperluan sebagai langkah penambahbaikan sistem kepengadilan yang selama ini sentiasa dipersoalkan penyokong bola sepak tempatan.
"Sebenarnya isu gaji mungkin satu atau dua pasukan bermasalah kerana banyak kebaikan selepas penswastaan dilakukan pada 2019.
"Kelewatan gaji sudah dikurangkan dan mungkin pasukan itu tidak menguruskan isu dengan betul. Bagi saya, kes tunggakan gaji adalah kes terpencil.
"Isu ini (gaji) memang penting tetapi dalam masa sama, semua negara atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sendiri sudah gunakan VAR sebagai keperluan.
"Mungkin itu sebabnya FAM rasa terpanggil bagi menambahbaik dari segi kepengadilan dengan bantuan VAR itu," katanya.