Jumaat, 11 November 2022 | 11:20pm
Mbappe (kanan) dan Benzema (dua dari kanan) akan mengetuai jentera serangan Perancis di Piala Dunia.
Mbappe (kanan) dan Benzema (dua dari kanan) akan mengetuai jentera serangan Perancis di Piala Dunia.

Fokus Piala Dunia: Perancis tagih bisa Mbappe, Benzema

KYLIAN Mbappe membantu Perancis memenangi Piala Dunia empat tahun lalu ketika dia dalam proses untuk bergelar pemain bintang dunia.

Bagi Karim Benzema, Piala Dunia di Qatar adalah peluang untuk mempamerkan bakat yang membawanya memenangi anugerah berprestij, Ballon d'Or pada usia hampir 35 tahun.

Apabila Mbappe yang berusia 19 tahun menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia empat tahun lalu, dia adalah pemain termuda selepas Pele pada 1958 yang meledak jaringan dalam perlawanan penentuan gelaran.

Benzema bagaimanapun tiada dalam skuad di Moscow kerana penyerang Real Madrid itu dibuang daripada pasukan kebangsaan.

Walaupun mereka bermain bersama pada kejohanan Eropah tahun lalu, Benzema baru sahaja kembali bersama Les Bleus.

Benzema berada di kedudukan kedua dalam carta penjaring gol sepanjang zaman Real Madrid di belakang Cristiano Ronaldo dengan 329 gol.

Mbappe dan Benzema akan membentuk serangan paling berbahaya di Qatar terutama sekiranya pemain PSG itu memiliki kebebasan bermain di posisi kegemarannya selepas kecewa terpaksa beraksi sebagai penyerang tengah di kelab.

"Saya mempunyai lebih banyak kebebasan (bersama Perancis). Jurulatih (Deschamps) sedar ada pemain 'nombor 9' seperti Olivier (Giroud) akan dikawal ketat pertahanan lawan dan saya boleh berlari, mencari ruang dan meminta bola.

 Olivier Giroud. - Foto AFP
Olivier Giroud. - Foto AFP

"Ia berbeza ketika bersama PSG yang mana perkara itu tidak berlaku. Saya diminta bermain sebagai penyerang tengah," kata Mbappe.

Giroud memerlukan dua gol untuk menyamai rekod kebangsaan Thierry Henry yang meledak 51 jaringan, namun Deschamps mungkin lebih gemar menggunakan Antoine Griezmann yang kini kembali beraksi bersama Atletico Madrid.

Hadir ke Qatar dengan status juara bertahan, Perancis turut dianggap sebagai pasukan pilihan pada kejohanan itu dan dijangka tiada halangan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan apabila akan berdepan Australia, Denmark dan Tunisia.

Profil Perancis
Persatuan: Persekutuan Bolasepak Perancis
Konfederasi: UEFA (Eropah)
Ketua jurulatih: Didier Deschamps
Kapten: Hugo Lloris
Nama gelaran: Les Bleus
Kod FIFA: FRA
Ranking FIFA: 4
Penyertaan Piala Dunia: 16 (pertama pada 1930)
Pencapaian: Juara 1998, 2018

Jadual perlawanan:

23 November - Perancis mln Australia, 3 pg - Stadium Al Janoub

27 November - Perancis mln Denmark, 12 tgh mlm - Stadium 974

30 November - Tunisia mln Perancis, 11 mlm - Stadium Education City

Berita Harian X