Jumaat, 11 November 2022 | 8:10pm
Alexa (kanan) teruja apabila Maddison tersenarai dalam skuad England ke Piala Dunia.
Alexa (kanan) teruja apabila Maddison tersenarai dalam skuad England ke Piala Dunia.

Kekasih Maddison teruja bintang Leicester dipilih ke Qatar

LONDON: Teman wanita James Maddison meluahkan perasaan bangga di laman sosial selepas kekasihnya dinamakan dalam skuad Piala Dunia England bagi menghadapi cabaran pada Qatar 2022.

Bintang Leicester itu adalah salah seorang daripada enam pemain tengah yang disenaraikan dalam skuad 26 pemain kendalian Gareth Southgate bagi merebut gelaran pada kejohanan terbesar dunia itu.

Kekasihnya Kennedy Alexa terlalu teruja dan berkongsi semula pengumuman rasmi skuad Three Lions di laman Insta Story miliknya dengan mesej sokongan.

Peragawati berusia 28 tahun itu menulis di bawah pengumuman: "Saya terlalu bangga. Anda berhak mendapatnya sayangku. Menangis air mata gembira."

Pasangan Maddison yang cantik manis itu dijangka melakukan kunjungan ke Qatar di samping semua WAGs (isteri dan teman wanita) pasukan England bagi memberikan sorakan dan sokongan tidak berbelah bahagi buat mereka memburu kegemilangan di bumi Timur Tengah.

Maddison dan Kennedy dipercayai sudah berpacaran sejak 2020 dan menerusi perkongsian hidup itu, mereka kini mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 bulan diberi nama Leo.

Maddison, 25, meraih tempatnya bagi penerbangan ke Qatar dengan persembahan mantap bersama The Foxes kendalian Brendan Rodgers.

Bekas pemain Norwich itu sudah menjaringkan 17 gol dan 10 'assist' tahun ini.

Berita Harian X