DAKAR: Naib juara Ballon d'Or, Sadio Mane disenaraikan dalam skuad Piala Dunia oleh jurulatih Senegal, Aliou Cisse, hari ini walaupun dia mengalami kecederaan.
Cisse berharap keadaan penyerang Bayern Munich itu akan bertambah baik dalam beberapa minggu akan datang dan dia sangat optimis bahawa kecederaan itu tidak memerlukan pembedahan.
Penyertaan Mane dalam kejohanan itu diragui selepas mengalami kecederaan ketika Bayern Munich membelasah Werder Bremen 6-1 pada Selasa.
Pemain berusia 30 tahun itu disahkan mengalami kecederaan kaki kanan dan akan menjalani ujian lanjut.
"Saya lebih suka mengekalkan dia dalam pasukan," kata Cisse kepada pemberita.
"Sadio Mane adalah pemain penting dalam skuad kami, adalah penting untuk terus mengikuti perkembangan kecederaannya dan berharap dalam dua atau tiga minggu akan ada kemajuan. Tetapi kami benar-benar optimis.
"Kami akan melakukan apa cara sekalipun yang diperlukan untuk membolehkan Sadio Mane pulih."
Senegal diundi dalam Kumpulan A dan akan beraksi pada perlawanan pembukaan berdepan tuan rumah, Qatar pada 21 November, sebelum bertemu Belanda dan Ecuador. -AFP