Khamis, 10 November 2022 | 11:29pm
Mane cedera ketika menentang Werder Bremen, kelmarin.
Mane cedera ketika menentang Werder Bremen, kelmarin.

Senegal tetap bawa Mane ke Qatar

PARIS: Sadio Mane tetap akan disenaraikan dalam skuad Senegal ke Piala Dunia walaupun mengalami kecederaan kaki, menurut sumber dalaman persekutuan bola sepak negara itu hari ini.

"Sesuatu yang pasti, Sadio Mane akan termasuk dalam senarai," kata sumber merujuk kepada barisan pemain yang bakal diumumkan jurulatih Aliou Cisse esok.

Mane yang menduduki tempat kedua pada anugerah Ballon d'Or tahun ini di belakang Karim Benzema, cedera ketika Bayern Munich membelasah Werder Bremen 6-1, kelmarin.

Dia disahkan mengalami kecederaan kaki kanan dan menurut Bayern, Mane akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk tempoh beberapa hari lagi.

Di sebalik kecederaan yang dialaminya, sumber berkata Mane kekal tenang, bersikap profesional dan mengerti ia adalah lumrah sebagai pemain bola sepak.

Penyerang berusia 30 tahun itu menjaringkan penalti kemenangan ketika membantu Senegal menjuarai Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan Mesir, Februari lalu.

Mane turut menjaringkan penalti penting pada playoff Piala Dunia sebulan selepas itu ketika menewaskan lawan sama yang diketuai Mohamed Salah.

Dia diketepikan untuk aksi terakhir Bayern menentang Schalke pada Sabtu ini sebelum saingan liga berhenti untuk Piala Dunia.

Doktor pasukan Senegal, Manuel Afonso pergi ke Munich untuk menilai tahap kecederaan Mane dan pasukannya berharap dia akan cergas sebelum aksi pembukaan menentang Belanda pada 21 November. - AFP

Berita Harian X