KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin boleh sama sama berkongsi bagi memastikan pelaksanaan video bantuan pengadil (VAR) dapat dijayakan pada musim depan.
Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menyifatkan cadangan itu mampu menjadi langkah yang adil memandangkan penyediaan sistem itu menelan belanja sehingga RM4 juta ke RM5 juta.
"Dari segi pembayaran, saya tidak pasti dan tidak dibincangkan dalam Mesyuarat EXCO. Kita tahu benda ini (VAR) membabitkan kos, kemungkinan FAM (perlu bayar) dan mungkin MFL kerana penggunaannya lebih kepada MFL.
"Tetapi pada sama pengadil dari FAM. Mungkin usahasama daripada MFL dan FAM. 'Half-half' (separuh separuh). Pada pandangan saya, mungkin pihak penganjurlah (perlu bayar kos VAR).
"Pasukan pula boleh bantu daripada segi lain. Contohnya seperti infrastrukur dan sebagainya. Walaupun memerlukan kos tinggi tetapi saya rasa itu bukan jadi halangan kita. Jadi sampai masa, kita akan beritahu, katanya.
Dalam masa sama, Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) menegaskan langkah FAM untuk menggunakan VAR adalah kerana sistem terbabit kini menjadi satu keperluan dalam saingan bola sepak profesional.
"Kita bukan mahu gunakan VAR kerana tekanan (dari penyokong) tetapi ia memang keperluan. Liga kita memang sudah ke arah profesional dan kita lihat jiran kita, Thailand juga sudah menggunakan VAR.
"FAM memang ke arah itu jadi seperti mana yang saya katakan tadi, hanya masa akan tentukan," katanya.