Selasa, 8 November 2022 | 7:56pm
 Gambar fail - Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram. - Foto ihsan FB FAM.
Gambar fail - Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram. - Foto ihsan FB FAM.

FAM bakal berbelanja sehingga RM5 juta laksana VAR

KUALA LUMPUR: Impian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan video bantuan pengadil (VAR) bermula musim depan menyaksikan mereka perlu mengeluarkan belanja antara RM4 juta sehingga RM5 juta.

Itu jumlah yang perlu dibayar badan induk berkenaan bagi menggunakan teknologi terbabit yang ketika ini sudahpun digunakan secara meluas khususnya dalam saingan bola sepak di Eropah.

Justeru, Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan kos menjadi faktor utama mengapa FAM perlu lebih 'berhati hati' dalam menggunakan teknologi terbabit bermula musim depan.

"Ada kira kira 300 perlawanan semusim. Jadi menerusi perbincangan dengan penyedia teknologi itu, ia menelan modal sekitar RM4 juta ke RM5 juta.

"Kita ada lagi perkara lain (perlu diuruskan) seperti sistem internet, kamera penyiaran dan sebagainya. Ini teknologi baharu walaupun ada negara lain yang sudah menggunakannya.

"Kita perlu meneliti lebih mendalam kerana kita tidak tahu berapa kos yang diperlukan (untuk menggunakan VAR).

"Sebab itulah, kita melihat penggunaannya dalam Piala FA dan Piala Malaysia. Mungkin bermula dari suku akhir ataupun boleh digunakan dari peringkat kumpulan," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan VAR bakal digunakan bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim depan. Ia selepas mendapat kelulusan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk berkenaan.

Difahamkan, kos mencecah RM5 juta itu hanya membabitkan penyedia perkhidmatan VAR. Ia tidak termasuk kos pengangkutan logistik, elaun pengadil, kamera penyiaran, internet berkelajuan tinggi dan lain-lain kos tambahan.

Justeru ini menyaksikan pengenalan VAR pada musim depan bakal membabitkan kos yang lebih tinggi daripada sistem sedia ada ketika ini.

Sebagai rekod, teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Berita Harian X