KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyokong usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperkenalkan sistem video bantuan pengadil (VAR) bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan ketika ini pihaknya dan FAM masih membuat kajian terperinci bagi memastikan proses percubaan menggunakan sistem itu dapat dilaksanakan dengan baik.
Katanya, bagi peringkat awal skop penggunaan VAR lebih tertumpu kepada perlawanan penting iaitu membabitkan peringkat suku akhir atau separuh akhir FA dan Piala Malaysia.
"Sudah semestinya kami bersetuju dengan usaha FAM. Saya fikir pelaksanaan VAR bukan sahaja permintaan bola sepak semasa, tapi permintaan penyokong dan pasukan juga.
"Sekarang ini, jika VAR dilaksanakan mungkin boleh dilakukan menerusi dua fasa iaitu melalui 'VAR Room' (bilik VAR) di setiap stadium atau menerusi 'broadcast center' (pusat penyiar).
"Namun, jika mahu menggunakan kaedah 'broadcast center' perlu ada kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teknologi terbabit disamping jaringan internet perlulah kuat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Setem Edisi Khas Piala Malaysia 2022 di sini, hari ini.
Semalam, FAM dilaporkan bersetuju untuk menggunakan teknologi VAR dalam Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.
Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S Sivasundaram berkata pihaknya sedang meneliti kesesuaian dan kewajaran mengenai peringkat pertandingan bagi menggunakan teknologi terbabit.
Malah, beliau turut mengesahkan pengadil tempatan akan dihantar menjalani kursus sebagai persiapan untuk mengendalikan VAR pada musim depan.
Selain itu, Stuart percaya bahawa FAM turut mengambil langkah yang sangat proaktif dalam meningkatkan pengadil di negara ini.
"Selain pelaksanaan kajian VAR, tapi program memperkasakan pengadil atas padang tetap dilaksanakan dalam memastikan tahap pengadil yang lebih baik," katanya.