Ahad, 6 November 2022 | 9:00pm
Depay (kiri) dijangka jadi pilihan Van Gaal walaupun lebih banyak panaskan bangku simpanan di Barcelona.
Depay (kiri) dijangka jadi pilihan Van Gaal walaupun lebih banyak panaskan bangku simpanan di Barcelona.

Fokus Piala Dunia: Taktikal Van Gaal pertaruhan Belanda

LAPAN tahun selepas mengemudi Belanda ke separuh akhir di Brazil, Louis van Gaal kembali sekali lagi dalam usaha membawa pulang kejuaraan Piala Dunia kali pertama ke negaranya.

Keupayaan taktikal dan kepimpinan Van Gaal penting buat pasukan yang gagal ke suku akhir Kejohanan Eropah tahun lalu di bawah pengendali terdahulu Frank de Boer.

Belanda, tiga kali naib juara Piala Dunia, berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Qatar, Ecuador dan Senegal.

Pasukan itu tidak tewas dalam 15 perlawanan sejak Van Gaal, 71, mengambil alih buat kali ketiga selepas De Boer meletakkan jawatan, dua kali menewaskan Belgium dalam laluan ke separuh akhir Liga Negara Eropah.

Kejayaan Van Gaal mengemudi Belanda bangkit daripada kemeruduman hadir walaupun beliau mendedahkan pada April beliau sedang dirawat susulan kanser prostat.

Jurulatih veteran itu berpengalaman luas selepas mengemudi pasukan muda Ajax menjuarai Liga Juara-Juara pada 1995 dan menguruskan kelab ternama termasuk Barcelona, ​​Bayern Munich dan Manchester United.

Detik penentu dalam karier kejurulatihan Van Gaal adalah keputusannya membawa masuk penjaga gol simpanan Tim Krul pada minit terakhir masa tambahan pada suku akhir Piala Dunia 2014 menentang Costa Rica dengan kedudukan 0-0.

Krul menyelamatkan dua sepakan penalti ketika menang penentuan penalti 4-3 yang membawa Belanda ke separuh akhir. Belanda kemudiannya tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti dalam perlawanan seterusnya dengan Jasper Cillessen di gawang.

Di sebalik keperwiraannya pada 2014, Krul dijangka tidak akan beraksi di Qatar. Namun Cillessen yang berusia 33 tahun, kini bermain untuk kelab Belanda NEC Nijmegen selepas beraksi dengan Ajax, Barcelona dan Valencia, mungkin akan berada dalam skuad itu.

Perdebatan hangat dalam kalangan peminat Belanda pada setiap kejohanan besar mengenai sama ada Oranje akan memainkan formasi pilihan mereka yang terdiri daripada empat pertahanan, tiga pemain tengah dan tiga penyerang.

Melenyapkan sistem 4-3-3 adalah sebahagian daripada sebab De Boer tidak digemari pada Euro 2020, tetapi jangan harap Van Gaal akan segera mengubah kembali ke sistem yang diterapkan kepada pemain bola sepak Belanda dari skuad remaja hinggalah kepada pasukan Ajax.

Van Gaal mengamalkan sistem tiga pertahanan, empat pemain tengah, dua penyerang dan seorang pemain di belakang penyerang tahun ini. Beliau berkata ia bermakna "pasukan lawan sentiasa perlu menyesuaikan diri."

Memphis Depay adalah salah seorang pemain bintang yang cemerlang pada Piala Dunia di Brazil. Hari ini, dia paling kerap dilihat di bangku simpanan Barcelona menonton Robert Lewandowski beraksi.

Van Gaal pernah berkata beliau hanya memilih pemain yang kerap beraksi dengan kelab mereka. Beliau dijangka membuat pengecualian terhadap Depay, yang mampu menjadi penjaring terbanyak Belanda sepanjang zaman.

Gol terakhir Depay, menentang Wales pada Jun, menjadikan catatan antarabangsanya kepada 42 gol, menyamai kedudukan kedua dalam senarai bersama Klaas Jan-Huntelaar. Robin van Persie masih berada di puncak carta dengan 50 gol.

PROFIL BELANDA

Persatuan: Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB)

Konfederasi: UEFA (Eropah)

Ketua jurulatih: Louis Van Gaal

Kapten: Virgil van Dijk

Nama gelaran: Oranje, Holland, Clockwork Orange, Flying Dutchmen

Kod FIFA: NED

Ranking FIFA: 8

Penyertaan Piala Dunia: 11 (kali pertama 1934)

Pencapaian terbaik: Naib juara (1974, 1978, 2010)

Pencapaian lain: Juara Kejohanan Eropah 1988, Naib juara Liga Negara Eropah 2019

Jadual perlawanan:

22 November – Senegal lwn Belanda – 12 tgh mlm – Stadium Al Thumama

26 November – Belanda lwn Ecuador – 12 tgh mlm – Stadium Khalifa

29 November – Belanda lwn Qatar – 11 mlm – Stadium Al Bayt

Berita Harian X