DIPERKUATKAN dengan pemain dari liga utama Eropah, pasukan semasa Senegal dianggap ramai sebagai yang terbaik pernah ditampilkan Afrika untuk ke Piala Dunia.
Ia sekali gus mencetus harapan Senegal mampu menghadiahkan benua itu pasukan pertama layak ke separuh akhir.
Sadio Mane jelas sekali pemain bintang utama yang mengemudi di bahagian serangan namun penjaga gol Edouard Mendy, pertahanan Kalidou Koulibaly, pemain tengah Idrissa Gueye dan Cheikhou Kouyate serta penyerang Ismaila Sarr membuktikan Senegal mempunyai kualiti dan hadir ke Qatar selepas memenuhi janji mereka dengan merangkul kejuaraan sulung Piala Negara Afrika pada Februari.
Juara Afrika itu akan turun untuk membuktikan sama ada mereka mempunyai potensi untuk melakar sejarah apabila berdepan Belanda pada perlawanan pertamanya pada Piala Dunia. Mereka juga akan menentang tuan rumah Qatar dan Ecuador dalam Kumpulan A.
Senegal dibebankan dengan gelaran pasukan terbaik yang tidak pernah memenangi Piala Afrika sebelum Mane menjaringkan gol penalti penentuan untuk mengalahkan Mesir.
Pencapaian di bawah tahap sebenar selama berdekad kini sudah berakhir dan masanya amat tepat sekali menjelang Piala Dunia, yang mana ia adalah penampilan ketiga Senegal.
Sekalipun Senegal tidak beraksi licik pada Piala Afrika, pasukan itu tetap bersemangat dan Mane mempamerkan prestasi terbaik, sekali gus meningkatkan keyakinan buat jurulatih Aliou Cisse dan skuadnya.
Mendy dan Koulibaly turut penting buat Senegal selain Mane. Rakan sepasukan di Chelsea itu antara yang terbaik di dunia di posisi masing-masing dan memberikan Senegal kekuatan diperlukan pada Piala Dunia, yang mana benteng pertahanannya akan menerima ujian lebih getir berbanding pada Piala Afrika.
Senegal kehilangan khidmat pertahanan kanan Bouna Sarr bagi Piala Dunia kerana kecederaan namun mempunyai ramai pengganti sekali gus tidak mencetuskan masalah dan pada usia 30 tahun, Mane mungkin berada di kemuncak prestasinya.
Namun pemain terbaik Afrika dalam generasinya berdepan peluang terakhirnya untuk membuat impak besar pada Piala Dunia. Dia berpindah dari Liga Perdana Inggeris untuk ke Bundesliga baru-baru ini dan sudah menjaringkan gol secara konsisten buat Bayern Munich.
Senegal mempunyai banyak pilihan di serangan untuk menyokong Mane, termasuk pemain ligat Ismaila Sarr, Boulaye Dia dan Famara Diedhiou yang mempunyai ketinggian 1.93 meter. Mencari kombinasi yang mampu menghasilkan yang terbaik daripada Mane paling penting buat Senegal untuk pergi lebih jauh di Qatar.
Persembahan terbaik Senegal pada Piala Dunia adalah ketika penampilan sulungnya pada 2002, yang mana mereka menewaskan juara bertahan Perancis dalam satu daripada kejutan terbesar kejohanan itu dan muncul pasukan kedua dari benua Afrika selepas Cameroon pada 1990 untuk layak ke suku akhir.
PROFIL SENEGAL
Persatuan: Persatuan Bolasepak Senegal
Konfederasi: CAF (Afrika)
Ketua jurulatih: Aliou Cisse
Kapten: Kalidou Koulibaly
Nama gelaran: Lions of Teranga
Kod FIFA: SEN
Ranking FIFA: 18
Penyertaan Piala Dunia: 3 (kali pertama 2002)
Pencapaian terbaik: Suku akhir (2002)
Pencapaian lain: Juara Piala Negara Afrika 2021
Jadual perlawanan:
22 November – Senegal lwn Belanda – 12 tgh mlm – Stadium Al Thumama
25 November – Qatar lwn Senegal – 9 mlm – Stadium Al Thumama
29 November – Ecuador lwn Senegal – 11 mlm – Stadium Khalifa