Sabtu, 5 November 2022 | 9:40pm
Pemain Ecuador meraikan kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022.
Pemain Ecuador meraikan kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022.

Fokus Piala Dunia: Ecuador tak lagi miliki kelebihan altitud

ECUADOR akan memulakan kempen Piala Dunia FIFA menentang pasukan Asia iaitu tuan rumah Qatar buat kali pertama selepas memulakan tiga Piala Dunia sebelum ini menentang pasukan Eropah.

Ia penampilan Piala Dunia keempat Ecuador dalam sejarah dengan penampilan terakhirnya lapan tahun lalu di Brazil.

Walaupun beliau bukan pilihan utama pada awalnya, Gustavo Alfaro akan membimbing pasukan kebangsaan negara itu pada Piala Dunia di Qatar.

Warga Argentina itu, yang pernah berkhidmat di Boca Juniors, mengambil alih pasukan Ecuador pada Ogos 2020 daripada Jordi Cruyff, yang tidak sempat bertugas walau satu perlawanan disebabkan pandemik COVID-19.

Alfaro meninggalkan Buenos Aires untuk mengemudi kelompok pemain muda berbakat yang setahun sebelumnya berakhir di tangga tercorot kumpulan dalam saingan Copa America.

Pada sidang akhbar pertamanya, beliau berkata Ecuador "mempunyai masa depan lebih cerah berbanding masa kini."

"Saya mahu menjadi sebahagian daripada proses itu," kata Alfaro, "sebahagian daripada perkembangan ini dan merealisasikan impian kami untuk bermain pada Piala Dunia berikutnya."

Ecuador akan bermain dalam perlawanan pembukaan menentang tuan rumah Qatar pada 20 November dalam Kumpulan A. Lima hari kemudian, pasukan itu menentang Belanda dan diakhiri dengan Senegal pada 29 November.

Pasukan muda dan fizikal Ecuador amat mantap pada kelayakan zon Amerika Selatan, lebih-lebih lagi di ketinggian Quito - 2,850 meter di atas paras laut. Pasukan itu meraih 18 daripada 26 mata semasa bermain di tempat sendiri.

Bagaimanapun, tiada sebarang kelebihan altitud untuk dimanfaatkan di Qatar, tetapi pemain seperti pertahanan Piero Hincapie, pemain sayap Gonzalo Plata dan penyerang Enner Valencia mampu menyukarkan pasukan lawan.

Dua aksi persahabatan menentang Arab Saudi dan Jepun pada September lalu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pasukan menjaringkan gol. Valencia, peledak utama pasukan, gagal menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan.

Alfaro jelas bimbang mengenai keupayaan penyerangnya. Pilihan lain di serangan termasuk Michael Estrada, Renato Ibarra, Angel Mena dan Djorkaeff Reasco. Namun mereka juga gagal menjaringkan gol buat pasukan kebangsaan baru-baru ini.

"Kami perlu menjaringkan gol semula, itulah sebahagian daripada ciri kami," kata Alfaro. "Jaringan gol tidak bergantung kepada pemain sayap. Ia bergantung kepada keseluruhan pasukan, daripada kapasiti kami untuk membantu, mencipta peluang."

Ecuador akan bermain pada Piala Dunia susulan perdebatan undang-undang yang agak lama. Chile dan Peru memfailkan aduan berhubung taraf kewarganegaraan pemain tengah Byron Castillo.

Tidak lama selepas Ecuador mengesahkan tempat ke Piala Dunia, Persekutuan Bolasepak Chile mendakwa Castillo sebenarnya warga Colombia oleh itu tidak layak beraksi dengan pasukan bergelar La Tricolor itu.

PROFIL ECUADOR

Persatuan: Konfederasi Bolasepak Ecuador (FEF)

Konfederasi: Conmebol (Amerika Selatan)

Ketua jurulatih: Gustavo Alfaro (Argentina)

Kapten: Enner Valencia

Nama gelaran: La Tri, La Tricolor

Kod FIFA: ECU

Ranking FIFA: 44

Penyertaan Piala Dunia: 4 (kali pertama 2002)

Pencapaian terbaik: Pusingan 16 (2006)

Jadual perlawanan:

21 November – Qatar lwn Ecuador – 12 tgh mlm - Stadium Al Bayt

26 November – Belanda lwn Ecuador – 12 tgh mlm - Stadium Khalifa

29 November – Ecuador lwn Senegal – 11 mlm - Stadium Khalifa

Berita Harian X