Sabtu, 5 November 2022 | 8:50pm
Pemain Qatar, Mohammed Muntari meraikan jaringannya ketika menentang Algeria pada saingan separuh akhir kejohanan FIFA Arab Cup Qatar 2021. - Foto FIFA
Pemain Qatar, Mohammed Muntari meraikan jaringannya ketika menentang Algeria pada saingan separuh akhir kejohanan FIFA Arab Cup Qatar 2021. - Foto FIFA

Fokus Piala Dunia: Qatar elak ikut jejak Afrika Selatan

HANYA satu negara tuan rumah gagal melepasi peringkat kumpulan pada pusingan akhir Piala Dunia FIFA dan Qatar akan cuba mengelak menjadi pasukan kedua.

Qatar muncul satu-satunya pasukan dalam sejarah kejohanan yang bermain di Piala Dunia tanpa pernah layak secara merit kerana tuan rumah mendapat tiket automatik.

Itali satu-satunya pasukan yang tidak mendapat status kelayakan automatik sebagai tuan rumah Piala Dunia kedua pada 1934 apabila ia terpaksa menewaskan Greece untuk mara.

Kini semua mata tertumpu kepada Qatar - negara Arab pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia - apabila 'The Maroons' berdepan Ecuador pada aksi pembukaan kejohanan pada 20 November ini. Qatar juga akan menentang Senegal dan Belanda dalam Kumpulan A.

"Perlawanan sukar menanti kami pada kejohanan ini," kata jurulatih Qatar, Felix Sanchez. "Kami akan menghadapi pasukan yang amat kuat, pasukan yang sudah biasa beraksi pada Piala Dunia. Jika kami mampu mempamerkan yang terbaik, kami pasti boleh memberikan saingan."

Pada 2010, Afrika Selatan muncul satu-satunya negara tuan rumah yang gagal melepasi pusingan pertama. Enam tuan rumah memenangi kejohanan itu, dengan yang terbaharu Perancis pada 1998.

Qatar bersiap sedia dengan rapi menjelang pusingan akhir dengan bermain banyak perlawanan.

Juara Piala Asia 2019 itu menerima jemputan untuk bermain pada Copa America 2019 dan Piala Emas Concacaf 2021, dengan persembahan yang dikagumi bagi kedua-dua kejohanan itu. Mereka tewas kepada Argentina 2-0 pada Copa America dan mara ke separuh akhir Piala Emas, tewas kepada Amerika Syarikat 1-0.

Qatar kemudian bermain 10 perlawanan persahabatan di Eropah atas jemputan UEFA untuk menimba lebih banyak pengalaman. Mereka menewaskan Luxembourg dan Azerbaijan namun kalah di tangan Serbia dan Portugal.

Sanchez, pengendali dari Sepanyol yang melatih pasukan itu sejak 2017, mengakui kekalahan 3-1 dan 3-0 kepada Portugal lebih setahun lalu menyedarkan mereka di tahap mana.

"Kami sedar apabila bermain di peringkat ini ia terlalu sukar buat kami," katanya.

Pada September lalu, Qatar seri 2-2 dengan Chile selepas tewas kepada Kanada 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Austria. Qatar kemudiannya menewaskan Guatemala 2-0 dalam satu lagi perlawanan persahabatan bulan lalu.

PROFIL QATAR

Persatuan: Persatuan Bolasepak Qatar

Konfederasi: AFC (Asia)

Ketua jurulatih: Felix Sanchez (Sepanyol)

Kapten: Hassan Al-Haydos

Nama gelaran: The Maroon

Kod FIFA: QAT

Ranking FIFA: 50

Penyertaan Piala Dunia: 1 (kali pertama 2022)

Pencapaian: Juara Piala Asia 2019, Naib juara Piala Arab 1998, Juara Piala Negara Teluk 1992, 2004, 2014

Jadual perlawanan:

21 November – Qatar lwn Ecuador – 12 tgh mlm - Stadium Al Bayt

25 November – Qatar lwn Senegal – 9 mlm - Stadium Al Thumama

29 November – Belanda lwn Qatar – 11 mlm - Stadium Al Bayt

Berita Harian X