KUALA LUMPUR: Sepak mula saingan berprestij Piala Dunia Qatar 2022 berbaki 15 hari lagi.
Bagi menyemarakkan kejohanan itu, BH Sukan menyiarkan fakta-fakta menarik mengenai kejohanan itu.
1. Argentina, Brazil kutip paling banyak kad
Tiada pasukan menerima kad kuning Piala Dunia sebanyak Argentina (123) atau kad merah terbanyak berbanding Brazil (11) sejak kad diperkenalkan pada kejohanan itu. Ketiga dalam senarai kad merah dengan sembilan, Uruguay berharap untuk mengelak daripada mencapai dua angka di Qatar.
2. Brazil, Jerman paling banyak beraksi
Brazil dan Jerman beraksi paling banyak 109 perlawanan pada Piala Dunia FIFA, satu rekod yang boleh diatasi salah satu pasukan itu di Qatar 2022. Argentina akan melonjak mengatasi Itali di tempat ketiga apabila mereka menentang Poland dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, aksi ke-84 mereka pada pusingan akhir. Jika mereka menang semua tiga aksi peringkat kumpulan, La Albiceleste akan mengumpul 46 kemenangan pada Piala Dunia, meletakkan mereka satu di hadapan Itali serta melonjak ke tangga ketiga di belakang Brazil dengan 73 dan Jerman dengan 67.
3. Aksi ke-70 Three Lions
England akan beraksi perlawanan Piala Dunia ke-70 mereka apabila Three Lions memulakan kempen menentang Iran, meletakkan mereka di tempat kelima dalam senarai. Belanda akan mengatasi Sweden bagi kedudukan 10 teratas apabila menentang Ecuador, perlawanan ke-51 mereka pada pusingan akhir.
4. Mexico paling banyak kalah
Mexico memegang rekod kekalahan terbanyak pada pusingan akhir iaitu 27 perlawanan dengan bermain lebih banyak perlawanan (57) berbanding negara yang masih belum memenangi kejohanan itu. El Tri juga kurang dua gol untuk dibolosi 100 dalam kejohanan itu, jumlah ketiga tertinggi di belakang Jerman dengan 125 dan Brazil dengan 105.
5. Messi dijangka atasi rekod Maradona
Dua lagi penampilan akan membolehkan Lionel Messi menyamai rekod Argentina 21 penampilan milik Diego Maradona pada pusingan akhir Piala Dunia. Jika Messi dan Argentina mara ke final di Qatar 2022 dan dia bermain dalam semua tujuh perlawanan, dia akan menyertai Lothar Matthaus bagi penampilan terbanyak kejohanan iaitu 26 perlawanan.
6. Rekod Deschamps
Didier Deschamps mengemudi Perancis dalam 12 perlawanan pusingan akhir Piala Dunia, lebih banyak daripada jurulatih lain pada Qatar 2022. Satu lagi kemenangan akan memberikannya 10 keseluruhan, angka yang hanya dicapai enam jurulatih lain dalam sejarah kejohanan itu: Helmut Schon, Luiz Felipe Scolari, Mario Zagallo, Joachim Loew, Carlos Alberto Parreira dan Oscar Tabarez.
7. Peluang Ronaldo cipta rekod
Cristiano Ronaldo sudah menjaringkan gol dalam empat edisi Piala Dunia, satu pencapaian yang turut dicapai oleh Pele, Uwe Seeler dan Miroslav Klose. Jika bintang Portugal itu menyumbat gol di Qatar, dia akan muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia.
8. Badi juara bertahan
Dalam tiga kejohanan terakhir, pasukan juara bertahan tersingkir pada peringkat kumpulan: Itali di Afrika Selatan 2010, Sepanyol di Brazil 2014 dan Jerman di Russia 2018. Adakah badi itu akan menghantui juara 2018, Perancis di Qatar?