LIVERPOOL: Liverpool menamatkan deretan 21 perlawanan tanpa kalah Napoli tetapi tidak cukup untuk memintas pendahulu Kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah itu.
Skuad kendalian Jurgen Klopp terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas kemenangan 2-0 di Anfield, dengan kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kelayakan ke pusingan kalah mati lebih awal.
Mohamed Salah memecah kebuntuan lima minit sebelum tamat permainan dan Darwin Nunez menambah jaringan untuk kemenangan kelima berturut-turut Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara sejak kekalahan 4-1 kepada Napoli pada September.
Jurang tiga gol ke atas Liverpool itu memastikan Napoli kendalian Luciano Spalletti kekal sebagai juara kumpulan selepas anak buah Klopp gagal menewaskan mereka dengan jurang lebih besar.
"Saya rasa pasukan saya bermain agak perlahan kerana kelebihan jurang gol yang kami ada. Lawan pula memanfaatkan sepenuhnya peluang mereka di akhir permainan," kata Spalletti.
Liverpool yang akan bertemu Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris Ahad ini, berjaya menamatkan deretan 13 kemenangan Napoli yang hanya kali kedua musim ini gagal menjaringkan gol.
The Reds mengalami kekalahan pertama Liga Perdana Inggeris di laman sendiri dalam tempoh lima tahun selepas dikejutkan Leeds 2-1 Sabtu lalu.
"Kami menunjukkan reaksi yang baik. Tampil lebih kompak memberikan kesan. Tiba-tiba kami jadi lawan yang sukar," kata Klopp. - AFP