Selasa, 1 November 2022 | 11:26am
Reaksi kecewa pemain Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) selepas pasukannya dimalukan Brighton 1-4 pada aksi EPL di Stadium Amex, Brighton, minggu lalu. - Foto EPA
Reaksi kecewa pemain Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) selepas pasukannya dimalukan Brighton 1-4 pada aksi EPL di Stadium Amex, Brighton, minggu lalu. - Foto EPA

Peluang Chelsea tebus kecewa

LONDON: Chelsea sudah mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah menjelang pertemuan dengan Dinamo Zagreb di Stamford Bridge awal pagi Khamis ini, waktu Malaysia.

Lawan dari Croatia itu pula tidak layak ke pusingan 16 terakhir tetapi masih mempunyai peluang untuk memburu aksi sagu hati di Liga Europa.

Dinamo Zagreb yang menjadi lawan terakhir buat Thomas Tuchel sebelum dipecat Chelsea, kini berusaha untuk menghentikan penguasaan kelab London itu di Eropah.

Graham Potter membawa Chelsea ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Red Bull Salzburg 2-1 minggu lalu hasil jaringan Mateo Kovacic dan Kai Havertz.

Chelsea mengatasi AC Milan dengan kelebihan tiga mata, dan mengesahkan tempat pertama berdasarkan rekod pertemuan dengan juara Itali itu.

Potter bagaimanapun berdepan cabaran getir apabila bertemu Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Chelsea dikecewakan dalam kepulangan pengendali itu ke Stadium Amex.

Chelsea dibelasah 4-1 oleh kelab lama Potter, Brighton, sekali gus menamatkan deretan sembilan tanpa kalah Potter sejak mengambil alih tugas Tuchel.

Bagaimanapun dia masih belum tewas di pentas Eropah dan mampu melebarkannya kepada lima perlawanan sekiranya memperoleh keputusan positif di Stamford Bridge.

Belum ada pengendali Chelsea sejak Roberto Di Matteo pada musim 2011-12 berjaya mengharungi lima perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah tanpa kalah dan kelab London Barat itu dinobatkan juara Eropah pada tahun berkenaan.

Chelsea kehilangan khidmat Wesley Fofana, Reece James dan N'Golo Kante akibat kecederaan jangka masa panjang, dan Potter berkata Kalidou Koulibaly juga mempunyai peluang tipis untuk diturunkan.

Kepa Arrizabalaga juga terpaksa dikeluarkan ketika kekalahan di Brighton akibat masalah di kakinya, sekali gus ia membuka peluang buat Edouard Mendy untuk kembali menjaga gawang Chelsea.

Barisan kemungkinan Chelsea - Mendy, Azpilicueta, Chalobah, Cucurella, Loftus-Cheek, Jorginho, Zakaria, Chilwell, Ziyech, Pulisic dan Broja

Barisan kemungkinan Dinamo Zagreb - Livakovic, Ristovski, Peric, J Sutalo, Moharrami, Ademi, Misic, Ivanusec, Ljubicic, Orsic dan Petkovic

- AGENSI

Berita Harian X