Khamis, 27 Oktober 2022 | 4:19pm
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) bersama Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan (dua dari kanan) bergambar selepas majlis menandatangani kerjasama antara kedua-dua pihak itu di Wisma FAM, hari ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) bersama Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan (dua dari kanan) bergambar selepas majlis menandatangani kerjasama antara kedua-dua pihak itu di Wisma FAM, hari ini.

FAM akur guna VAR

KUALA LUMPUR: Selepas ketiadaan pengadil Malaysia terpilih bertugas di Piala Dunia bulan depan gara-gara tidak memiliki lesen Video Bantuan Pengadil (VAR), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan kesediaan untuk menggunakan teknologi itu.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman mendedahkan badan induk itu sudah mendapat input berhubung penggunaan teknologi terbabit sebelum mempertimbangkan penggunaannya dalam kancah domestik.

Bagaimanapun, Noor Azman mengakui pelbagai perkara perlu dipertimbangkan dan diambil kira terlebih dahulu sebelum penggunaan teknologi diimplementasikan dalam saingan domestik.

"Memang di peringkat Jawatankuasa Pengadil ada taklimat daripada penyedia iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro yang membuat pembentangan kepada kita.

"Cuma perkara itu di peringkat untuk kita memuktamadkan membabitkan kosnya dan sebagainya. Kita juga sedang melihat sama ada untuk membelinya atau menyewa teknologi terbabit.

"Kita memang mahu (gunakan VAR) tetapi kita perlu ambil kira penggunaannya dan kesesuaiannya. Kita ambil input dahulu dan kita lihat keperluannya di sini.

'Kita serahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pengadil untuk membuat penilaian," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama FAM bersama HP Malaysia, hari ini.

Terdahulu, badan induk menjalinkan kerjasama dengan HP bagi membantu memperkasa pasukan e-Rimau negara.

Mengulas mengenai isu pengadil tempatan terlepas peluang ke Piala Dunia susulan ketiadaan lesen VAR, Noor Azman memaklumkan perkara terbabit akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil.

"Kita akan rujuk kepada Jawatankuasa Pengadil dan dapatkan laporan (mengenai isu itu)," katanya.

Semalam, Tenaga Pengajar Teknikal FIFA yang juga bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil lelaki terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen VAR.

Berita Harian X