SALZBURG, Austria: Pengurus Chelsea, Graham Potter gembira pasukannya mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berbaki satu perlawanan selepas menang 2-1 di tempat lawan mengatasi Salzburg.
Sepakan menakjubkan Kai Havertz 26 minit sebelum tamat menghadirkan perbezaan selepas Junior Adamu menyamakan kedudukan berikutan gol pembukaan Mateo Kovacic buat skuad Blues.
Kemenangan melebarkan rekod kemenangan Chelsea di bawah Potter kepada sembilan perlawanan.
Bekas bos Brighton itu dilantik sebagai pengurus baharu di Stamford Bridge selepas perlawanan terakhir Thomas Tuchel berakhir dengan kekalahan 1-0 kepada Dinamo Zagreb dalam Kumpulan E.
Seri 1-1 di laman sendiri berdepan juara Austria itu adalah perlawanan pertama Potter menyebabkan Chelsea berdepan halangan besar untuk layak.
Namun kemenangan berturut-turut mengatasi AC Milan memberikan laluan mereka di Eropah kembali ke landasan sebenar dan satu lagi kemenangan membuka ruang bagi mengumpul kelebihan empat mata mengatasi Salzburg.
"Ia persembahan menakjubkan daripada pemain," kata Potter.
"Saya gembira kami mara berbaki satu perlawanan memikirkan bagaimana kami memulakan kejohanan ini." - AFP