Selasa, 25 Oktober 2022 | 1:18pm
Pemain JDT, Syafiq Ahmad (tengah) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persiapan menghadapi PJ City pada aksi Piala Malaysia di Stadium MBPJ malam esok. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Syafiq Ahmad (tengah) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persiapan menghadapi PJ City pada aksi Piala Malaysia di Stadium MBPJ malam esok. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

JDT sudah sedia buru piala keempat

JOHOR BAHRU: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) menambah koleksi kejuaraan keempat pada musim ini menerusi Piala Malaysia selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.

Sudah tentu ia menjadi sasaran utama pengendali JDT Hector Bidoglio yang akan memulakan kempen piala berprestij itu apabila berdepan PJ City FC pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Apapun, pengendali kelahiran Argentina tampak mahu bersikap berhati-hati apabila berdepan skuad kendalian P Maniam yang begitu liat untuk ditewaskan.

"Kami pernah mencatat keputusan 2-2 ketika saingan liga dan saya tidak menafikan PJ City FC memiliki aura apabila beraksi di tempat sendiri. Kami harus berwaspada dengan taktikal permainan yang bakal di tampilkan oleh pasukan lawan.

"Oleh itu, kami harus mempersiapkan diri berdepan PJ City FC kerana saingan Piala Malaysia berbeza dengan aksi liga. Semua pasukan termasuk JDT inginkan kejuaraan piala berprestij itu, di tambah lagi selepas kami gagal menjulang kejuaraan itu pada musim lalu.

"Beberapa kelemahan sudah diperbaiki dan ia tidak membimbangkan kerana pemain JDT tahu tugas yang harus dipikul. Malah mereka juga tampak bersedia berdepan PJ City pada aksi pertama dan meletak sasaran untuk mencari kemenangan," katanya.

Bidoglio juga tidak menolak kemungkinan akan membariskan semula Fernando Forestieri dalam kesebelasan utama selepas tidak diturunkan ketika beberapa aksi liga.

Katanya, hanya Shane Lowry sahaja yang tidak dapat meneruskan aksi akibat kecederaan siku ketika menentang Kedah Darul Aman FC , 4 Oktober. Dia masih belum pulih sepenuhya.

"Taruhan di posisi serangan sudah tentunya Bergson (Da Silva) yang akan mengepalai posisi itu. Saya berharap sentuhan berbisanya ketika saingan liga berterusan pada aksi Piala Malaysia," kata Bidoglio.

Berita Harian X