LONDON: Harry Maguire sudah bersedia untuk kembali bersama Manchester United, sekali gus meningkatkan peluangnya beraksi bersama skuad England di Piala Dunia Qatar 2022 bulan depan.
Kapten United itu diketepikan sejak sebulan lalu disebabkan masalah kecederaan hamstring ketika skuad Three Lions seri 3-3 dengan Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara.
Namun, pemain pertahanan itu dijadual kembali menjalani sesi latihan penuh pada minggu ini selepas tercicir tujuh perlawanan bersama pasukan dan 'kepulangannya' tampak tepat pada masanya buat pengurus, Erik ten Hag selepas rakannya di barisan pertahanan, Raphael Varane mengalami kecederaan sama ketika bertemu Chelsea, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, pengurus England, Gareth Southgate juga boleh menarik nafas lega untuk melihat kemunculan semula Maquire di Qatar nanti tatkala Varane, berkemungkinan terlepas aksi bersama pasukan Perancis di Piala Dunia.
"Sejarah menunjukkan nasib tidak menyebelahi Raphael dan kami semua akan merinduinya. Dia berada di tahap terbaik dalam perlawanan sejak saya berada di sini. Sekarang ini, kami hanya perlu menunggu untuk melihat apakah yang berlaku terhadap kecederaannya dan berapa lama tempoh untuknya pulih.
"Namun sebagai satu pasukan, kami akan memberi sepenuh sokongan kepadanya," kata rakan sepasukan, Christian Eriksen.
Ketiadaan Varane memberi bayangan yang Maguire berpeluang cerah untuk menunjukkan kemampuannya selepas digugurkan United pada dua perlawanan pertama musim dan hanya sekali diturunkan dalam saingan Liga Europa.
Dia kini berharap diturunkan pada baki perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum menyertai skuad kebangsaan kendalian Southgate. - Agensi