Alor Setar: Skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas kepada PJ City 0-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Kebuntuan gol dan gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang oleh tuan rumah membolehkan PJ City beraksi tanpa tekanan di tempat lawan dengan serangan balas yang kerap membahayakan gawang Kedah.
Pada aksi berkenaan, tuan rumah terlebih dulu mengasak kubu The Phoenix dengan percubaan bahaya seawal minit ketiga melalui Ronald Ngah yang melakukan tandukan namun percubaannya lemah dan mudah dibaca penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz.
PJ City membalas serangan dengan percubaan oleh kapten pasukan Mahali Jasuli dari ruang tengah pada minit ke-16, bagaimanapun penjaga gawang Kedah Ilham Amirullah berjaya berjaya menafikan percubaan itu.
Bermula babak kedua Kedah mula mempertingkatkan serangan dengan kemasukan pemain gantian sayap Fayadh Zulkifli dan peluang untuk Kedah mendapat gol hadir pada minit ke-62 melalui gerakan daripada Syazwan Zainon yang melorongkan bola kepada Ronald Ngah namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan oleh penyerang dari Cameroon itu.
PJ City bagaimanapun melakukan kejutan apabila memecah kebuntuan gol melalui sentuhan pemain gantian Ruventhiran pada minit ke-69 yang berjaya melengkapkan hantaran Mahali Jasuli.
Kedah cuba bangkit melalui percubaan pemain gantian Afeeq Iqmal pada minit ke-81, namun tandukannya tersasar sekali gus menyaksikan Kedah tumbang di laman sendiri.