Sabtu, 1 Oktober 2022 | 11:17pm
Cheng Hoe (baju putih) meraikan kejayaan bersama pemainnya selepas membelasah Melaka United. - FB SELANGOR FC
Cheng Hoe (baju putih) meraikan kejayaan bersama pemainnya selepas membelasah Melaka United. - FB SELANGOR FC

Cheng Hoe lulus ujian pertama, 'titik' Melaka

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu Selangor, Tan Cheng Hoe lulus ujian sulung apabila Gergasi Merah meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu diumumkan sebagai ketua jurulatih Selangor, Ahad lalu dan aksi berdepan Melaka United adalah sentuhan pertamanya bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Selangor berada di depan selepas 16 minit permainan apabila Nor Hakim Hassan berjaya menanduk masuk bola hantaran Hein Htet Aung.

Tindakan pertahanan Melaka United memberi ruang kepada Mukhairi Ajmal Mahadi mengundang padah apabila pemain muda berusia 20 tahun itu melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-32 untuk meledak gol kedua Gergasi Merah.

Kapten Selangor, Brendan Gan mencipta nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran Herlison Caion di dalam kotak penalti pada minit ke-66.

Tindakan tidak profesional pemain Melaka United, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyiku kepala Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-73 menyukarkan lagi pasukannya untuk bangkit apabila dia dilayangkan kad merah.

Peluang itu dimanfaatkan Selangor apabila menambah dua lagi gol menerusi Brendan dan Caion pada minit ke-78 dan 90, sekali gus memberi hadiah bermakna untuk penampilan sulung Cheng Hoe.

Di Stadium Negeri, Kuching, Sri Pahang menambah derita Sarawak United apabila merekodkan kemenangan 4-1.

David Rowley meledak gol pembukaan Sri Pahang pada minit ke-37 sebelum Zahrul Nizwan Joe Kifli menyamakan kedudukan buat Sarawak United pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang berbisa Sri Pahang, Steven Rodriguez manambah dua gol pada minit ke-58 dan 78 sebelum Zuhair Aizat Nazri meledak gol keempat pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan bergaya Tok Gajah.

Berita Harian X