X
Jumaat, 30 September 2022 | 2:20pm
Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya turun dengan mentaliti yang tinggi bagi meneruskan momentum tiga kemenangan yang dicapai Sang Kenari sebelum ini. - Foto ihsan KDA FC
Pengendali KDA FC Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya turun dengan mentaliti yang tinggi bagi meneruskan momentum tiga kemenangan yang dicapai Sang Kenari sebelum ini. - Foto ihsan KDA FC

Kekal momentum, waspada: Aidil

ALOR SETAR: Tiga kemenangan berturut-turut yang dicapai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi bekalan menjelang kunjungan PJ City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Berbaki tiga perlawanan di laman sendiri, aksi menentang PJ City menjadi medan untuk meneruskan momentum kemenangan sebelum aksi seterusnya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak mahu setiap pemainnya kekal fokus bagi meneruskan momentum kemenangan selepas aksi liga berehat dua minggu.

"Kami perlu kekal fokus bagi meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri, dan tidak boleh sesekali berasa selesa selepas meraih tiga kemenangan.

"Kami perlu mulakan aksi menentang PJ City ini dengan mentaliti yang kuat serta aksi yang meyakinkan sebelum dua lagi perlawanan di laman sendiri menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.

"Jadi setiap kesempatan yang ada untuk aksi di laman sendiri ini perlu kami manfaatkan sepenuhnya kerana jika tidak, penyokong juga akan kecewa dan akan memberi kesan pada kehadiran ke stadium untuk perlawanan seterusnya," kata Aidil.

KDA FC bakal turun tanpa kelibat tonggak import Mahmoud Al-Mardi yang tidak beraksi akibat penggantungan kad kuning.

"Memang Al-Mardi penting dan banyak membantu aspek serangan pasukan, namun kami juga memiliki perancangan berbeza kali ini dan mana-mana pemain gantian nanti juga memiliki peluang yang baik untuk menunjukkan kebolehan mereka, lebih-lebih lagi untuk pemilihan pemain pada musim depan," katanya.

Di sebalik kelebihan beraksi di laman sendiri, Aidil turut mengingatkan pemainnya supaya tetap berwaspada di atas kemampuan skuad kendalian P Maniam itu yang boleh melakar kejutan selepas kali terakhir mengikat juara Piala FA musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 2-2.

Berita Harian X