Jumaat, 30 September 2022 | 2:20pm
Pemain Terengganu FC II (TFC II), Muslihuddin Atiq Mat Zaid didakwa dilamar Johor Darul Ta’zim (JDT). - Foto ihsan TFC
Pemain Terengganu FC II (TFC II), Muslihuddin Atiq Mat Zaid didakwa dilamar Johor Darul Ta’zim (JDT). - Foto ihsan TFC

JDT nafi buru pemain TFC II

JOHOR BAHRU: Pemain Terengganu FC II (TFC II), Muslihuddin Atiq Mat Zaid mungkin ingin mengejar populariti atau sekadar 'syok sendiri' apabila cuba mengaitkan dirinya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, Pengarah Teknikal kelab, Allistair Edwards mengesahkan tiada sebarang tawaran dibuat oleh JDT bagi mendapatkan khidmat pemain sayap TFC II itu.

"JDT ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran dibuat kepada pemain TFC II, Muslihuddin Atiq (Mat Zaid).

"Sebaliknya JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani pemain tempatan, tapi pemain tersebut bukanlah Muslihuddin Atiq seperti yang digembar-gemburkan.

"Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran itu kerana tiada kakitangan teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Pengarah Sukan, Martin Prest, membuat tawaran kepada pemain berkenaan," kata Edwards.

Baru-baru ini perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan Terengganmu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang memaklumkan pemain berusia 21 tahun itu kini sedang dirisik skuad Harimau Selatan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut kini masih diteruskan antara kedua-dua kelab berkenaan selain keluarga serta pemain itu sendiri sebelum keputusan muktamad dibuat kerana pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sehingga November ini.

Namun dengan pengesahan daripada pihak JDT, kenyataan itu tampak seperti mahu meraih populariti sekali gus meningkatkan lagi 'saham' Muslihuddin Atiq seandai mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Berita Harian X