Isnin, 26 September 2022 | 7:26pm
Hantaran Liridon Krasniqi pada akaun Instagram miliknya. - Foto ihsan Instagram Liridon Krasniqi
Hantaran Liridon Krasniqi pada akaun Instagram miliknya. - Foto ihsan Instagram Liridon Krasniqi

'Kami rakyat Malaysia bila menang, dianggap pendatang bila kalah'

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi bersimpati dengan layanan yang diterima Mohamadou Sumareh selepas pemain sayap itu gagal memperaga aksi terbaik ketika diturunkan pada aksi final Piala Raja Thailand 2022 menentang Tajikistan, semalam.

Pemain dari Gambia itu dikritik hebat selepas dilihat gagal memberi apa-apa impak kepada pasukan termasuklah nyaris dibuang padang apabila melakukan terjahan keras kepada pemain lawan ketika dia sudahpun dilayangkan kad kuning.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Liridon tampak terkilan dengan sokongan daripada penyokong ke atas 'Harimau Import' yang hanya menjulang mereka ketika skuad Harimau Malaya meraih kemenangan namun mengecam apabila gagal meraih keputusan yang baik.

"We are Malaysian when we win, an immigrant when we lose... (Kami rakyat Malaysia bila menang, dianggap pendatang bila kalah)," tulis Liridon menerusi akaun Instagram (IG) miliknya.

Terdahulu, impian Malaysia untuk menjulang Piala Raja Thai selepas 44 tahun berkecai apabila tewas 3-0 menerusi penentuan penalti di tangan Tajikistan dalam aksi final di Stadium Chiang Mai, kelmarin.

Buntu terikat tanpa jaringan sehingga wisel penamat, kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyudahkan tiga sepakan awal Harimau Malaya membolehkan Tajikistan meraih kemenangan 3-0 menerusi penentuan penalti.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, Thailand untuk berlepas pulang ke tanah air hari ini. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, Thailand untuk berlepas pulang ke tanah air hari ini. - Foto FB FAM

Berita Harian X