Sabtu, 24 September 2022 | 11:20pm
Ketua pasukan Penang FC, Lucas Espindola Da Silva (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. NSTP/Danial Saad
Ketua pasukan Penang FC, Lucas Espindola Da Silva (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. NSTP/Danial Saad

Lucas selamatkan Penang FC

GEORGETOWN: Penang FC mengubat rindu kutipan tiga mata selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi perlawanan ke-19 saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kapten pasukan tuan rumah, Lucas Espindola Da Silva memecah kebuntuan Penang FC apabila meledak gol tunggal pasukan tuan rumah pada minit ke-76 sekali gus menyaksikan skuad Harimau Kumbang mencatat kemenangan kedua musim ini.

Penggempur import dari Brazil itu terlebih dahulu menerima hantaran lintang daripada Rafiuddin Roddin sebelum pantas meluru dan menanduk bola meskipun cuba dicabar Giancarlo Gallifuoco dan Kevin Mendoza.

Dia bagaimanapun dilayangkan kad kuning pada minit ke-89 kerana dilihat cuba melewatkan permainan.

Sebelum itu, Penang FC mendapat peluang membuka jaringan seawal minit kelapan apabila tandukan pemain pertahanan KL City, Muhammad terkena muka rakan sepasukannya, Akram Mahinan sebelum singgah betul-betul di kaki Lucas Da Silva.

Namun Lucas gagal menyempurnakan peluang terhidang apabila rembatannya tersasar daripada gawang gol lawan.

Pada awalnya, kegoyahan bahagian pertahanan sukar disembunyikan Penang FC meskipun melakukan asakan demi asakan antaranya dilakukan Endrick Dos Santos gagal membolosi gol pasuksn pelawat pada minit ke-26.

Pada minit ke-43 percubaan pemain pertahanan tengah The City Boys, Muhamad Irfan Zakaria sekadar menggegar palang tuan rumah.

Lima minit terakhir separuh masa pertama Rafael Vitor meluru ke tengah dan membuat hantaran kepada Lucas namun percubaan itu turut tidak membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua perlawanan pasukan pelawat banyak mencipta peluang mencetak gol terutamanya menerusi penyerang sensasi KL City Jordan Mintah.

Mintah bagaimanapun digantikan dengan Muhammad Anwar Ibrahim pada minit ke-76 namun berlaku sedikit kekecohan apabila pemain itu masuk lebih awal sebelum Mintah keluar padang.

Perlawanan berakhir dengan keputusan kekal 1-0 dengan kemenangan Penang FC di laman sendiri menceriakan 541 penonton yang hadir ke Stadium Bandaraya biarpun perlawanan pada mulanya hambar tanpa kehadiran Ultras Panthers pada malam ini.

Berita Harian X