Isnin, 19 September 2022 | 8:33pm
Gambar fail - Pemain Terengganu, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid meraikan jaringannya ketika aksi bertemu Sabah pada temasya SUKAM di Stadium UKM pada 13 September lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Gambar fail - Pemain Terengganu, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid meraikan jaringannya ketika aksi bertemu Sabah pada temasya SUKAM di Stadium UKM pada 13 September lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Terengganu, Selangor, PP mara separuh akhir bola sepak

KUALA LUMPUR: Terengganu mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dengan bergaya apabila menumbangkan Perlis 3-0 pada aksi suku akhir di Stadium UKM, sebentar tadi.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, skuad Penyu muda mengganas apabila merobek gawang Perlis sebanyak tiga kali dalam tempoh 45 minit separuh masa kedua.

Pesta gol Terengganu dimulakan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-48, sebelum disusuli Muhamad Azrul Iman Mohd Yusof (minit ke-56) dan Muhammad Safwan Mazlan (minit ke-86).

Sementara itu di Arena UM, Selangor mengesahkan tempat ke separuh akhir bertemu Terengganu apabila menyingkirkan Pahang 7-6 menerusi sepakan penalti penentuan.

Perlawanan terpaksa diheret sehingga penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 120 minit perlawanan.

Sementara itu, penentuan sepakan penalti turut disaksikan di Stadium UNITEN selepas Pulau Pinang (PP) menyingkirkan Kelantan 5-4 menerusi sepakan penalti penentuan.

Adam Danial terlebih dahulu meledak gol pertama buat Kelantan pada minit ke-25 sebelum T Saravanan mengikut kedudukan untuk skuad Harimau Kumbang muda di penghujung babak pertama.

Babak kedua terus rancak apabila Dhia Ramadhan meletakkan Pulau Pinang di depan pada minit ke-61 namun kedudukan itu hanya bertahan tujuh minit apabila Kelantan menyamakan kedudukan hasil jaringan Nor Shahmi Irfan Talaha (m68).

Satu lagi perlawanan akan berlangsung di Stadium UiTM malam ini menampilkan aksi antara Wilayah Persekutuan berdepan Johor dengan pemenang akan bertemu Pulau Pinang pada aksi separuh akhir, Rabu ini.

Berita Harian X